Demikian pendapat yang dibawakan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif yang mahu membawa pelbagai limpahan pembangunun di kawasan tersebut khususnya dalam usaha membangun bersama ilmuan.

Katanya, kemajuan kawasan terletak kepada kehebatan dalam bidang keilmuan dan dengan cara itu, kepesatan pembangunan boleh dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik.

“Jika ditanya apakah aspirasi saya untuk rakyat. Sudah pasti saya mahu membawa kemajuan dalam bidang ilmuan dan pendidikan.

“Ini kerana, kita mempunyai Wawasan Membakut yang memberi fokus terhadap kepelbagaian bidang ilmu pendidikan sama ada ilmu agama mahupun sains dan teknologi.

“Oleh itu, tumpuan pemba­ngunan pelbagai prasarana yang diadakan di sini adalah bersifat pendidikan dan usaha untuk memartabatkan budaya ilmu dan pendidikan anak-anak memang menjadi fokus utama,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Arifin menambah, menerusi wawasan berkenaan, kawasan tersebut bakal menerima pembangunan baharu iaitu mewujudkan sebuah Institut Tahfiz Al-Quran bertaraf diploma.

Menurutnya, ini merupakan usaha Barisan Nasional (BN) yang mahukan pendidikan khususnya generasi akan datang terus ter­bela dan lebih mengujakan, kemudahan institut berkenaan adalah diiktiraf daripada kerajaan.

“Dengan adanya institut ini, golongan muda khususnya di negeri ini boleh memanfaatkan peluang ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi khususnya Ijazah Sarjana Muda di universiti luar negara.

“Selain itu, kami juga dalam usaha untuk membangunkan Kolej Profesional Mara bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka yang terarah kepada bidang kemahiran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Arifin memberitahu, melihat kepada perkembangan tekonologi maklumat, pihaknya juga komited dalam menyediakan kemudahan itu demi pembangunan masyarakat setempat.

“Kita tidak mahu masyarakat di kawasan ini, terutamanya di kawasan pedalaman ketinggalan dengan perkembangan teknologi semasa.

“Justeru, usaha ke arah itu turut digerakkan termasuk memberi perhatian terhadap aplikasi e-desa yang menumpukan kepada kemahiran maya yang kini sedang dilaksanakan di kawasan Saga-Saga dan Ulu Membakut,” jelas beliau.

Sementara itu, beliau memberitahu, aspek pembangunan pertanian dan pelancongan juga giat dilakukan pihaknya dengan melihat potensi besar yang ada di sesetengah kawasan ini.

“Kalau dahulu kawasan ini kaya dengan hasil pertanian se­perti padi namun sejak beberapa tahun lalu ia seolah-olah tidak di usahakan secara serius. Tetapi kami menerusi Jabatan Pertanian telah berjaya membuka semua kawasan sawah padi untuk di­usahakan penduduk setempat.

“Bagi produk pelancongan pula, kita juga berusaha ke arah tersebut. Keindahan pantai di Kampung Pimping yang terletak di kawasan ini mampu menjadi daya tarikan untuk pelancong dalam dan luar negara,” katanya.