JAMES RATIB (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dalam majlis berbuka puasa warga kerja LKIM negeri bersama para pengerusi persatuan nelayan Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Ahli Lembaga LKIM, Datuk James Ratib berkata, antara projek pembangunan itu ialah pembinaan projek penempatan semula nelayan di Kampung Air Beluran dan Pembinaan Pelabuhan LKIM di Sandakan.

Menurutnya, kedua-dua projek itu dilihat bakal memberi manfaat kepada masyarakat nelayan tempatan dalam meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“Sebagai Ahli Lembaga LKIM yang disambung kontrak dua tahun sehingga 2017, saya berazam mengambil perhatian serius dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh 15 persatuan nelayan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa warga kerja LKIM negeri bersama para pengerusi persatuan nelayan Sabah di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, James turut menyerahkan bantuan kewangan bernilai antara RM1000 hingga RM2000 melalui Program Bantuan Bencana Alam kepada lima nelayan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia Kudat, bulan lalu.

Majlis berbuka puasa yang dihadiri Pengarah LKIM negeri, Othman Abdul Latiff itu turut meraikan anak-anak yatim dari kalangan anak-anak nelayan Pulau Gaya, di sini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut menyeru semua pengurus persatuan nelayan be­kerjasama memastikan apa juga projek pembangunan yang dirancang LKIM dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Ujarnya, para pengerusi persatuan nelayan juga diminta terus memberikan sokongan kepada kerajaan agar setiap permasalahan yang dihadapi mendapat perhatian segera.

“Saya amat berharap persatuan nelayan sentiasa berhubung dengan saya jika terdapat masalah di peringkat kawasan agar dapat dikemukakan kepada pimpinan tertinggi LKIM,” katanya.