Irmohizam Ibrahim

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pusat itu penting bagi memastikan LKIM dapat membantu negara dalam penyediaan stok bekalan ikan selain yang disumbangkan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

“Nekmat se­hingga kini mempunyai stok bekalan ikan kira-kira 200 tan. Dengan wujudnya pusat pengumpulan ini nanti, LKIM juga boleh menyediakan stok ikan dalam jumlah yang sama.

“Jika berlaku masalah bekalan ikan terutama di musim tengkujuh, kita akan dapat mengatasinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas melawat Pusat Akuakultur Badong, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah LKIM, Razali Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff.

Irmohizam berkata, pusat pengumpulan ikan itu juga secara tidak langsung dapat mengawal harga ikan dan memastikan bekalan tersebut sentiasa mencukupi di pasar tani, pasar raya besar dan pasar pagi.

Menurutnya, LKIM akan beker­jasama dengan Lembaga Pema­saran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam penyediaan kertas cadangan berhubung pusat itu untuk diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kita akan memulakan pusat pengumpulan ikan ini di kawasan Lembah Klang terlebih dahulu dan selepas itu akan dibuka di seluruh negara. Sasaran kita pada bulan Jun ini untuk mewujudkan pusat ini,” katanya.