BUKIT MERTAJAM 19 Feb. – Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) meneruskan program Sekolah Angkat yang dimulakan sejak 2011 dengan pengambilan lima sekolah baharu untuk program itu pada tahun ini.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Permai Indah dan Sekolah Menengah Agama Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah di Bukit Mertajam; SK Bayan Baru dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung di Bayan Lepas dan SMK Jawi di Nibong Tebal untuk sesi 2017 hingga 2019.
Pengarah Urusan JKSB, Datuk Ir. Mohd. Ashari Alias berkata, program tersebut dilaksanakan atas dasar keprihatinan pihaknya terhadap masyarakat setempat berhampiran projek pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan mewujudkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan JKSB selain membantu memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran bagi melonjakkan kecemerlangan pelajar.
“Program Sekolah Angkat JKSB lebih menitikberatkan proses pengajaran dan pembelajaran serta membantu meningkatkan sahsiah pelajar dan ini sedikit berbeza dengan program sama yang dianjurkan beberapa pihak lain.
“JKSB akan membantu sekolah terpilih untuk menganjurkan pelbagai program seperti pecutan peperiksaan, kelas tambahan, acara sukan, lawatan serta motivasi,” katanya.
Beliau ditemui dalam majlis perasmian Sekolah Angkat JKSB bagi sesi baharu di SK Permai Indah di sini, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Sektor Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dr. Mohd. Nazari Yaakob.
Bagi sesi 2011-2016 lalu, sebanyak empat sekolah terlibat dalam program berkenaan iaitu SK Seri Relau, SK Seri Tasek, SMK Pondok Upeh dan SMK Taman Widuri.
Mohd. Ashari memberitahu, sejak dianjurkan, program berkenaan telah mencapai kejayaan tersendiri apabila keputusan peperiksaan beberapa sekolah menunjukkan peningkatan serta berjaya menempatkan nama sebagai antara sekolah cemerlang di negeri ini.