Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bidang kemahiran turut menjanjikan pulangan yang lumayan dan tenaga kerja mahir tersebut semenangnya diperlukan di negara ini.

“Bagi pelajar yang tidak berjaya (dalam SPM), mereka masih ada lagi peluang iaitu bidang kemahiran.

“Bidang kemahiran bukanlah peluang kedua, maknanya...kalau tak berjaya baru pilih kemahiran, sebaliknya ia adalah satu alternatif lebih-lebih lagi amat diperlukan di setiap negara yang membangun dan maju,” katanya dalam sidang media di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai sempena lawatan seharinya ke Parlimen Pengerang di sini kelmarin.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Syed A. Rahman; ADUN Penawar, Hamimah Mansor dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Mohamed Khaled berkata, kebanyakan negara membangun dan maju di dunia hanya memerlukan 30 hingga 40 peratus yang ada kelayakan akademik manakala selebihnya perlukan mereka yang mempunyai kemahiran.

“Kita perlukan kedua-duanya (akademik dan kemahiran). Kalau banyak jurutera buat robot rosak tetapi tidak ada tenaga mahir nak betulkan jadi tak boleh juga sebab itu kita perlu tenaga mahir.

“Akademik cipta peralatan tetapi untuk penjagaan dan penyelenggaraan kita memerlukan tenaga kerja mahir. Jadi sesebuah negara perlu kombinasi kedua-duanya,” katanya.

Dalam keputusan SPM 2016 yang diumumkan Khamis lalu, seramai 1,015 pelajar atau 2.23 peratus daripada keseluruhan 52,617 calon yang menduduki peperiksaan itu di negeri ini mendapat gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran.