Namun bagi DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN, di sebalik jadual kerja dan tugasan yang sibuk, jawatannya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah tidak pernah diabaikan malah beliau sentiasa berada di kawasannya jika tiada urusan yang lebih mustahak.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR, anak kelahiran Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah itu menceritakan peranan Barisan Nasional (BN) yang perlu terus diberi mandat untuk membantu penduduk kawasan itu dan memajukan Parlimen tersebut pada masa akan datang.

 

 

UTUSAN: SELEPAS diberi mandat mengepalai Parlimen Masjid Tanah, apa pelaksanaan pembangunan yang Datuk telah lakukan di kawasan ini?

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN: Selepas menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah, saya mencadangkan pembinaan sebuah kompleks sukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk manfaat anak-anak muda dan generasi akan datang. Hari ini kita boleh lihat Kompleks Sukan Masjid Tanah sudah tersergam indah. Selain itu saya juga telah mengemukakan pembinaan sebuah terminal bas kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) dan kini Masjid Tanah Sentral sudah terbina untuk kemudahan penduduk di Parlimen ini. Itu antara pencapaian saya selama lima tahun mentadbir Parlimen ini dan sebenarnya ada banyak lagi pembangunan yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk di kawasan ini.

BARISAN NASIONAL (BN) dilihat banyak membawa pembangunan di Masjid Tanah dan penduduk kawasan ini selesa di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada sekarang. Adakah Datuk berpuas hati dengan tahap sokongan yang diberikan kepada BN khususnya di kawasan Datuk?

Alhamdulillah saya bersyukur dengan sokongan diberikan penduduk dan saya tidak suka untuk menyatakan bahawa Parlimen ini adalah fixed deposit BN tetapi saya ingin katakan bahawa sokongan rakyat di Parlimen ini amat baik sekali, namun semua itu tidak menjadikan saya lupa diri malah ia memberi semangat kepada saya untuk terus bekerja keras demi kesejahteraan pengundi dan penyokong kerajaan BN.

PAKATAN pembangkang dilihat sering memainkan isu-isu lapuk bagi menarik sokongan rakyat sedangkan hakikatnya mereka tiada isu untuk diperjuangkan pada pilihan raya umum kali ini. Sejauh mana Datuk melihat usaha mereka dapat mempengaruhi pengundi?

Kehadiran tokoh-tokoh pembangkang khususnya di Parlimen Masjid Tanah menunjukkan mereka berusaha keras untuk menawan Parlimen ini tetapi saya kesal kerana mereka lebih banyak cuba mengelirukan rak­yat dengan fakta serta maklumat yang kita semua tahu tidak benar. Pembangkang menganggap orang Masjid Tanah akan termakan dengan fitnah, namun saya dan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sentiasa bekerjasama untuk mematahkan serangan dan fitnah jahat mereka.

BERBALIK kepada kawasan Masjid Tanah, apa perancangan Datuk sekiranya BN terus diberi peluang mentadbir kawasan ini dan apa lagi bentuk pembangunan dan kemajuan yang dirancang?

Sejak awal lagi saya ingin me­laksanakan Jalan Pintas Masjid Tanah bagi meng­hubungkan kawasan Hutan Simpan Sungai Udang ke pekan Masjid Tanah. Jika diberi peluang meneruskan kepimpinan ini, langkah itu akan disegerakan demi keselesaan rakyat untuk menjimatkan masa dan mengatasi kesesakan lalu lintas.

Parlimen Masjid Tanah memiliki lokasi bertaraf pelancongan yang berpotensi dan saya bertekad untuk meneruskan pembangunan di sekitar Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan Kuala Linggi yang boleh diketengahkan sebagai lokasi pelancongan di negeri ini.

SEBAGAI ketua salah satu sa­yap parti BN, bagaimana Datuk melihat persediaan Pergerakan Puteri UMNO bagi menghadapi PRU-14 dan usaha yang akan diambil bagi memenangi hati pe­ngundi khususnya di kawasan Datuk?

Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus memberi kepercayaan kepada ahli Pergerakan Puteri UMNO melaksanakan persiapan meng­hadapi PRU-14 secara tersusun dan segala amanah dan tugas yang diberikan akan diteruskan. Kami akan bersiap siaga bukan hanya pada peringkat negeri malah di peringkat keseluruhan jentera Puteri UMNO seluruh negara.Usaha untuk mengambil hati pengundi akan terus dilakukan dan sebagai Ahli Parlimen di kawasan ini, saya dengan kerjasama Puteri UMNO Bahagian untuk terus membantu masyarakat kurang berkemampuan dan percayalah, mereka sememangnya selesa bersama BN yang selama ini banyak membantu dan terus akan membantu.