R. Vidyananthan

Pengerusi Jawatan­kuasa Perpaduan dan Sum­ber Manusia negeri, R. Vidyananthan berkata, kesemua pekerja asing tersebut mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian serta Pas Lawatan Ikhtisas (Plik).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,485 pekerja asing mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara dengan pecahan seramai 1,634 bekerja di Country Garden Danga Bay, R&F Princess Cove (435), Greenland Jade Palace (310) dan Forest City (106).

“Bagi pekerja asing yang mempunyai Pas Penggajian dan Pas Lawatan Ikhtisas, seramai 869 be­kerja di Country Garden dan Forest City, manakala 244 di R&F Princess Cove dan 15 di Greenland Jade Palace.

“Hingga kini, Jabatan Imigresen hanya menerima permohonan permit kerja bagi warganegara China melibatkan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Penggajian dan Plik. Selain itu, Jabatan Imigresen tidak pernah mengeluarkan pas khas bagi tujuan pelepasan bekerja,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini semalam.

Vidyananthan berkata, permoho­nan bagi pas berkaitan hanya akan diproses selepas mendapat pertimbangan dan memenuhi kuota pihak kementerian serta pengambilan pekerja asing adalah mengikut prosedur yang sah.

“Di samping mengeluarkan pas secara sah, Jabatan Imigresen juga sering melaksanakan pemantauan dan pelaksanaan operasi bagi kesalahan guna pas.

“Pada tahun ini, seramai 38 individu ditahan kerana melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai permit sah, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan memiliki dokumen palsu,” katanya.