Karnival anjuran Majlis Belia Daerah Maran (MBDM ) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Maran itu menampilkan pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias sebagai penceramah.

Dalam ceramahnya, Mohd. Kazim berkata, iman didefinisikan dengan keyakinan dalam hati, diikrarkan dengan lisan dan diwujudkan dengan perbuatan.

Sehubungan itu, kata beliau, iman merupakan kesatuan atau keselarasan antara hati, ucapan dan perbuatan yang dirumuskan sebagai pandangan atau gaya hidup.

“Iman dan takwa sebagai penggerak bagi membuka minda untuk mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah umat manusia bagi tujuan memakmurkan dunia ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk menjadikan bumi sebagai destinasi yang selesa dan menyenangkan untuk berbakti, beriman serta mencari keredaan Allah SWT,” katanya.

Menurut Mohd. Kazim, iman dan takwa dapat memberi motivasi dan rangsangan yang kuat terhadap pembentukan peribadi serta jati diri manusia.

“Kekuatan ini bersesuaian de­ngan fitrah dan naluri semula jadi manusia yang amat dahagakan pengetahuan serta kepercayaan terhadap Allah SWT,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MBDM, Zapril Nasir berkata, program berkenaan mengupas pelbagai isu termasuk yang berkaitan dengan cinta dan tanggungjawab terhadap diri, negara dan agama.

“Ceramah Ustaz Mohd. Kazim berdasarkan kepada prinsip keimanan dan ketakwaan yang membawa kepada kemajuan, keadilan serta kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.