Acara tersebut bukan hanya berjaya menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta bahkan merupakan titik penyatuan anak bangsa yang menjadi instrumen penting untuk memperkasakan agenda pendidikan dalam masyarakat.

Program anjuran Guru Aktif Satu Selangor (GAIS) yang julung kali diadakan itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat selain menyuntik semangat kesukanan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, program itu merupakan platform yang berkesan dalam menggabungkan pendapat serta pandangan para guru yang boleh membantu meningkatkan kualiti pendidikan.

“Perkembangan ini sangat baik kerana mengambil langkah dan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) de­ngan melibatkan warga pendidik, warga kerja sekolah, pimpinan masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Ia bertepatan dengan agenda untuk memasyarakatkan sekolah. Kita harap program seperti ini akan terus dianjurkan dan lebih ramai warga pendidik melibatkan diri,” katanya ketika selepas merasmikan penutupan program berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P. Kamalanathan, Penaung Program, Datuk Zein Isma Ismail dan Pengarah Program, Azroy Ramli.

Sementara itu, Zein Isma yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Selangor berkata, program itu akan dianjurkan secara dwi tahunan memandangkan sambutan yang diterima sangat menggalakkan termasuk daripada masyarakat setempat.

“Selain memupuk kecergasan, hasil kutipan yuran daripada acara ini akan disumbang kepada sekolah-sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

Acara yang bermula pada pukul 9 malam itu menyaksikan empat kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, senior lelaki dan senior wanita yang masing-masing melibatkan jarak larian sejauh 10 kilometer.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Parlimen Subang dan Koordinator DUN Paya Jaras itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM57,100.