Mereka mendakwa masalah itu berlaku sejak tiga bulan lalu sehingga menyebabkan berlaku lambakan di sini dan akibatnya banyak kelapa yang sudah bercambah dan tidak lagi boleh dijual.

Mereka mendakwa, pembeli dari Kuala Lumpur enggan membeli kelapa yang dihasilkan di Bagan Datuk yang dibeli pada harga antara 80 sen hingga RM1.10 sebiji dari kebun berbanding harga kelapa di Indonesia yang dijual dalam bentuk kilogram atau 52 sen sebiji.

Pembekal kelapa tua, Ramli Ariffin, 63, memberitahu, penghasilan buah kelapa tua di daerah ini merosot apabila penanam tidak lagi mempedulikan lagi tanaman mereka kerana berlakunya import kelapa dari Indonesia.

Katanya, biasanya dalam se­ming­gu dia memperoleh 50,000 hingga 100,000 buah kelapa tua untuk dijual tetapi kali ini pembekal tidak lagi datang membeli daripadanya dengan alasan kelapa di Bagan Datuk lebih mahal daripada kelapa Indonesia .

“Harga kelapa di Indonesia dijual dalam kilogram atau sebiji kira-kira 52 sen berbanding harga kelapa di Bagan Datuk antara 80 sen sehingga RM1.10 sebiji, jadi sudah tentu pembekal cari yang harga murah.

“Sudah tiga bulan masalah kelapa tua tidak dibeli oleh pembekal dari kuala Lumpur dan kira-kira 100,000 kelapa tua tidak diambil menyebabkan banyak yang bercambah dan tidak laku untuk dijual,” katanya.

Ramli berharap kerajaan dapat mengatasi masalah tersebut dan mengkaji semula import kelapa tua dari Indonesia yang menyebabkan pembekal kelapa di kampung terjejas teruk.

Seorang lagi pembekal kelapa tua, Kandaya, 63, mendakwa kelapa yang diimport dari Indonesia murah tetapi tidak sama kualiti dengan kelapa tempatan.

Dia yang sudah 38 tahun menjadi pembekal kelapa berkata, masalah itu tidak pernah berlaku sebelum ini sehinggalah kelapa dari Indonesia memasuki pasaran negara ini.

“Biasanya setiap minggu kira-kira 200,000 kelapa tua dapat dijual kepada pembekal dari Kuala Lumpur tapi sekarang hanya dua pembekal sahaja yang membeli sedangkan tujuh lagi pembekal tidak lagi membeli.

“Saya menghubungi mereka dan mereka memberitahu sudah membeli kelapa dari Indonesia dengan harga yang murah di Pelabuhan Klang, Johor dan Pahang. Saya nak tanya kepada kerajaan, buah kelapa yang sudah bercambah ini yang ada beratus ribu ini kami nak buat apa?,” katanya.