Pengarah Projek MRT Corp Laluan SSP, Datuk Amiruddin Ma’aris berkata, pada ketika ini projek berkenaan sudah mencapai tahap kemajuan pembinaan sebanyak 7.5 peratus dan berjalan mengikut jadual.

“Memandangkan pakej kerja sivil dan sistem telah dianugerahkan kepada pemaju, kerja-kerja pembinaan bermula bagi kedua-dua jajaran bertingkat utara dan selatan, bahagian bawah tanah dan depoh.

“Kerja-kerja sedang berjalan dengan pesat dalam semua bahagian,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat berhubung status pembangunan projek MRT kepada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah.

Menurut Amiruddin, untuk bahagian bertingkat, kemajuan pakej kerja pertama kini berada pada tahap 20.9 peratus manakala pakej kerja kedua 10.3 peratus dengan kerja-kerja dapat dilihat di sepanjang Jalan Kuala Selangor hingga Jalan Kepong.

“Projek ini bergerak pada kadar yang baik mengikut perancangan. Bagi kerja-kerja bawah tanah pula, ia berjalan lancar dengan mencapai kemajuan 8.7 peratus. Kerja untuk 11 stesen bawah tanah MRT sedang berjalan.

“Tumpuan diberikan kepada penempatan semula utiliti, pembinaan dinding diafragma dan kerja-kerja penutupan alur serta penggalian kekotan stesen dan syaf. Sebanyak 12 Mesin Pengorek Terowong (TBM) akan digunakan untuk menggali terowong bagi bahagian bawah tanah laluan SSP sepanjang 13.5 kilometer,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MRT membelanjakan kira-kira RM2.2 bilion untuk dua pertiga tapak tanah yang menjadi sebahagian dalam pembangunan projek laluan berkenaan.

Lauan MRT SSP antara stesen Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu akan beroperasi pada Julai 2021 manakala keseluruhan laluan beroperasi sepenuhnya pada Julai 2022.