Kini segalanya tampak kembali ke 'landasan' sebenar apabila Marsum mengambil pendekatan turun padang bertemu rakyat dan boleh dikatakan program yang dianjurkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil itu tidak pernah 'surut' untuk mengembalikan kepercayaan penduduk Sepang.

Wartawan Utusan Malaysia, HAKIMI ISMAIL dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH menemu bual Marsum untuk berkongsi usaha dan pendekatannya dalam memastikan kerusi Parlimen Sepang kembali kepangkuan BN termasuk di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu, Dengkil, Tanjong Sepat dan Sungai Pelek


UTUSAN MALAYSIA: Sejauh mana keberkesanan usaha Datuk menganjurkan program turun padang untuk menyatukan kembali rakyat Sepang?

MARSUM: Program turun padang dan ziarah bertemu rakyat dilakukan secara konsisten sejak saya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Sepang.

Bagi saya rakyat adalah se­galanya kerana mereka merupakan penentu dan dalam program yang dianjurkan tiada pilih kasih kerana saya turut menyantuni semua kaum termasuk Orang Asli.

Semasa Pilihan Raya Umun Ke-13 (PRU-13) kita berdepan masalah sehingga menyebabkan Barisan Nasional gagal memenangi kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN).

Untuk itu saya bekerja keras untuk memastikan kawasan itu kembali ke tampuk pemerintahan parti. Sekarang, Alhamdulillah penerimaan rakyat semakin baik.

Apakah yang perlu dilakukan oleh BN untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan dua lagi DUN di Sepang?

Aspek yang perlu diberikan penekanan ialah pemilihan calon oleh pucuk kepemimpinan parti nanti perlu disukai dan disenangi oleh rakyat.

Bagi pemimpin setempat di Sepang, kami sudah melakukan yang terbaik kepada rakyat melalui program-program yang dianjurkan sejak lima tahun lalu.

Saya juga telah berjumpa de­ngan semua ketua-ketua cawa­ngan untuk berbincang mengenai PRU-14 dan kami sepakat untuk meletakkan kepentingan parti sebagai agenda utama.

Kita berjuang untuk parti dan bukannya untuk individu tertentu.

 

Bagaimana Datuk melihat saingan daripada Pakatan Harapan yang diketuai DAP di Sepang?

Saya menjangka akan berlaku persaingan tiga penjuru di kerusi Parlimen dan setiap DUN di Sepang. Bagi saya mudah iaitu lakukan yang terbaik kepada rakyat dan mereka akan menilai segala penat lelah kita sewaktu PRU-14 nanti.

Dalam PRU-13, Parlimen ini dikuasai oleh PAS melalui Hanipa Maidin namun, sekarang beliau telah menyer­tai Parti Amanah Negara (PAN) dan pastinya PAS mahu mengekalkannya calonnya serta dalam masa yang sama Pakatan Harapan juga akan meletakkan calon mereka.

Rakyat Sepang mahukan anak jati bagi membolehkan mereka meluahkan sebarang permasalahan pada bila-bila masa, sekarang mereka tidak boleh berbuat demikian kerana Hanipa hanya kelihatan di Dewan Rakyat sahaja.

Sekiranya terpilih menjadi calon bagi kerusi Parlimen Sepang, apa misi dan janji Datuk kepada rakyat Sepang?

Secara jujurnya saya sehingga hari ini masih tidak tahu menahu mengenai calon yang akan diberikan tangungjawab untuk mengalas harapan parti di kawasan ini. Namun, jika terpilih saya akan berjuang untuk memastikan kawasan Parlimen Sepang kembali ke tampuk pemerintahan BN.

Untuk rakyat pula, saya dan barisan pemimpin di Sepang tidak menunggu dilantik sebagai calon terlebih dahulu untuk bekerja kerana kami telah berusaha sebaik mungkin memperjuangkan ke­sejahteraan rakyat.

Sebagai contoh kita telah mengemukakan permohonan agar sebuah hospital dibina di Sepang selain membina sekolah rendah dan menengah baharu di kawasan yang padat.

Selain itu juga kerajaan telah meluluskan pembinaan jejambat dua hala menghubungkan Kota Warisan dan Putrajaya dengan kos sebanyak RM74 juta.

Komen mengenai usaha dan agenda BN menawan kembali Selangor?

Saya melihat BN berpeluang untuk merampas kembali Selangor pada PRU-14.

Keyakinan ini berdasarkan parti kembali mendapat kepercayaan rakyat selepas pelbagai penambahbaikan dilakukan.

Di semua kawasan juga program turun padang diperhebatkan dan mendapat sambutan yang amat baik.