Persidangan DUN kali ini melakar sejarah kerana buat pertama kalinya berlaku perubahan yang menyeluruh kepada barisan ke­pemimpinan kerajaan negeri.

Pakatan Harapan (PH) kini me­nguasai DUN sebagai kerajaan dan Barisan Nasional (BN) pula menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor pada PRU-14 manakala BN mendapat 19 kerusi dan Pas dengan satu kerusi.

Daripada 36 kerusi itu, DAP memperoleh 14 kerusi, Amanah (sembilan), PKR (lima) manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu (lapan).

Bagaimanapun, tiga ADUN BN daripada UMNO iaitu ADUN Sedili, Rasman Ithnain, ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Endau, Alwiyah Talib kemudian mengumumkan bertindak keluar UMNO dan BN pada 12 Mei de­ngan menjadi Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Bebas.

Persidangan DUN ke-14 yang berlangsung dari 9 hingga 19 Ogos ini agak menarik kerana buat kali pertama juga DAP daripada PH mendominasi dewan dan UMNO menjadi suara minoriti.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika bertitah mengingatkan semua ADUN supaya tidak menjadikan persidangan DUN seperti sarkas, menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas.

“Saya harap Speaker DUN akan menjalankan tugasnya dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.

“Sekiranya ada ADUN yang bertindak melampui batas dan melanggar peraturan yang telah ditetapkan, maka arahkanlah mereka supaya keluar dari dewan ini,” titah baginda.

Menariknya juga, pada kali ini Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat adalah pemimpin politik pertama dalam kalangan PH yang dilantik mengisi jawatan tersebut.

Uniknya kali ini bagi memboleh­kan rakyat negeri ini mengikuti persidangan selama 11 hari itu, kerajaan negeri bercadang menyiarkannya secara langsung menerusi Facebook.

Bersempena Malaysia baharu ini, adalah diharapkan semua ADUN akan mematuhi semua peraturan yang diguna pakai ketika sidang DUN termasuk kod dan etika berpakaian.

Walaupun dijangka panas akibat pertembungan antara PH dan BN, namun persidangan semalam dan hari ini berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang argumentasi hingga bertikam lidah.

Mereka perlu ingat bahawa DUN Johor adalah badan perundangan bagi kerajaan negeri yang melulus dan meminda undang-undang negeri. Tidak perlu menjadikannya seperti pasar.

Fungsinya juga berkhidmat kepada kerajaan negeri serta menjadi platform bagi memeriksa dasar-dasar kerajaan serta melulus rang undang-undang bajet negeri selain menjadi forum untuk ahli-ahli meluahkan pendapat dan berbincang mengikut hak perundangan ahli-ahli.

Kepentingan politik harus diketepikan. Penulis percaya Suhaizan akan dapat memainkan peranannya dengan baik dan te­lus, semua perkara yang menjadi isu rakyat harus dibenarkan untuk perbincangan selaras dengan prinsip demokrasi.

Selain itu, BN juga memberi jaminan akan profesional dan komited untuk tidak menjadikan DUN Johor sebagai sarkas dengan perang vokal yang tidak matang dan kebudak-budakan sekali gus akan memastikan mereka menjadi pembangkang yang terbaik.

Apa yang lebih positif adalah BN juga akan memberi kerjasama dengan semua pihak termasuk ADUN PH selagi apa yang ingin dilakukan akan membuahkan kebaikan kepada rakyat Johor.

Adalah merugikan sekiranya BN hanya membangkang secara membuta tuli. Peranan Ketua Pembangkang juga harus diiktiraf selain mutu perbahasan diper­tingkat, amalan berpolitik secara matang antara PH dan BN wajar dipraktikkan semasa sidang DUN.

Keharmonian antara kedua-dua pihak perlu dijaga kerana semua ADUN membawa suara rak­yat dan menjadi sensitif dengan isu semasa. DUN bukan tempat untuk menjadi hero sebaliknya mereka yang berkhidmat (YB) benar-benar berkhidmat untuk rakyat.