Selain tugas hakikinya sebagai hakim, beliau aktif mengadakan kuliahkuliah ilmu khususnya di Parit Buntar.
Beliau yang menetap di Parit Buntar selama lebih 15 tahun, mahu melihat institusi agama di Parit Buntar terus dipertingkatkan supaya dapat melahirkan generasi ulul albab melalui pendidikan tahfiz al-Quran.

 

 

UTUSAN: Boleh Yang Arif terangkan apakah maksud ulul albab?

MOHD. ASRI: Maksud ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal fikiran mereka dengan sempurna dan mendalam bagi mengkaji dan berfikir sehingga mampu meletakkan semua perkara pada landasan yang betul.

APAKAH kaedah untuk melahirkan generasi ulul albab pada masa kini?

Pihak kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Najib melalui Kementerian Pendidikan telah membuat satu program pendidikan gabungan antara program pendidikan MRSM sedia ada dengan program aliran agama termasuklah tahfiz al-Quran dan sunah untuk melahirkan generasi ini. Program ini diharapkan akan dapat melahirkan generasi ulul albab suatu masa nanti bagi menghadapi keupayaan dunia globalisasi dan serba mencabar.

APAKAH kelebihan generasi ini apabila wujud suatu masa nanti?

Selain daripada berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, mereka juga berkeupayaan memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah ummah yang semakin mencabar serta membawa kepada pemikiran yang kreatif dan inovatif.

APAKAH program melahirkan generasi ulul albab boleh diperluaskan ke tempat lain dan apakah cabarannya?

Untuk melahirkan generasi ini, ia perlu kepada satu komitmen dan pengorbanan yang tinggi daripada banyak pihak, sama ada pelajar itu sendiri, ibu bapa, keluarga, guru dan pembimbing itu sendiri. Tanpa komitmen dan pengorbanan awal dari mereka, ia boleh menjadi sukar untuk dilaksanakan kerana sistem pembelajaran bagi melahirkan generasi ulul albab ini meliputi duniawi dan juga ukhrawi. Selain itu, sistem pembelajarannya perlu disusun dan dirancang sebaik-baiknya dengan betul dan bersistematik.

APA pesanan anda supaya sesuatu tindakan itu seiring dengan generasi ulul albab ini apabila ia dapat dilahirkan suatu masa nanti?

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman tentang sebuah ne­geri yang diturunkan rahmat dan keampunan dari Allah SWT. Justeru itu, saya mengajak agar kita sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki diri kita dan keluarga kita agar terarah kepada sesuatu lebih baik dan berfikiran positif agar nanti dapat melahirkan insan rabbani dalam masyarakat seiring dengan ge­nerasi ulul albab yang kita impikan suatu masa nanti.