PASIR SALAK 9 Feb. - Kurang kesedaran dan sikap sambil lewa masyarakat setempat  menjadi punca utama virus rabies atau penyakit anjing gila kembali berlaku di Sarawak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, mangsa terbaharu virus tersebut iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun dilaporkan hanya mendapatkan rawatan selepas dua bulan dia digigit anjing.

Tajuddin berkata,  kelewatan mendapatkan rawatan  menyebabkan keadaan mangsa bertambah teruk sehingga tidak dapat diselamatkan.

"Lelaki tersebut di gigit anjing tapi tak nak jumpa doktor. Lepas sebulan dua baru pergi sudah terlambat.

"Sepatutnya kalau kena gigit anjing janganlah lengah-lengah, pergilah jumpa doktor untuk dapatkan rawatan segera. Sikap sambil lewa inilah yang menyebabkan virus ini tak dapat kita benteras sehingga kini," katanya.

Tajuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah di Seberang Perak di sini hari ini.

Lelaki berusia 59 tahun yang meninggal dunia 4 Februari lalu merupakan mangsa keenam yang terkorban akibat virus itu di Sarawak. - UTUSAN ONLINE