Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Rashid A. Rahman berkata, ini berikutan prospek pekerjaan dalam lapangan itu semakin baik dan berpotensi tinggi khususnya di negeri ini yang mendapat permintaan tinggi.

“Langkah pemerkasaan itu juga adalah selaras dengan aspi­rasi kerajaan negeri untuk mening­katkan potensi TVET agar setanding dengan pendidikan berorientasikan akademik khusus bagi lepasan sekolah yang memiliki kelainan keupayaan.

“Menyedari keperluan ini KPYPJ meningkatkan kualiti program TVET di kolej-kolej komuniti yang kini dikenali Kolej Kemahiran dan Teknikal Johor (KKTJ) melalui peningkatan tahap beberapa kursus ke peringkat diploma,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu sempena Malam Penghargaan Staf KPYPJ 2017, di sini baru-baru ini yang dihadiri lebih 300 kakitangannya.

Dalam majlis itu beliau menyam­paikan anugerah kepada 40 penerima antaranya Anugerah Khas Ketua Bahagian, Khidmat Setia, Staf Cemerlang dan Anugerah Khas CEO.

Abdul Rashid berkata, antara kursus yang terlibat adalah penyediaan dan pembuatan makanan, penyejukbekuan serta penyaman udara selain memperkenalkan kursus baharu kimpalan tahap tiga.

“Bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam sektor minyak dan gas di Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, KKTJ telah memperkenalkan kursus ber­asaskan bidang berkenaan di kolej cawangan itu di Kota Tinggi sejak Disember lalu.

“Kami mensasarkan seramai 500 pekerja mahir dalam bidang minyak dan gas dapat dilahirkan setiap tahun melalui program ini,” katanya.