Pergaulannya dengan ma­sya­rakat luar terbatas, kecuali apabila terdapat program tertentu diadakan di penempatan itu dan sudut pandangnya sekian lama terarah kepada latar hutan yang masih memberikan kehidupan kepada keluarga.

Namun penglibatannya di pentas teater, suatu yang tidak diduga, malah cukup asing baginya dan rakan-rakan, mula membuka luas dunia jendela kehidupannya termasuk dalam aspek agama.

“Saya tidak lagi bersekolah selepas di tingkatan satu dan bantu ibu bapa di rumah, juga jaga adik-adik,” ujar anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Tahun lalu memberikan hari-hari yang cukup menyeronokkan buat Sarina dan 31 anak muda di kampungnya apabila diajak untuk mendekati teater yang cuba diangkat salah satu medium dakwah.

Teater kontemporari berjudul Asal yang pertama kali menarik penglibatan pemain orang Asli sepenuhnya, ditunjangi oleh produksi Patung Patung Network & Services, dengan skrip dan arahan pasangan suami isteri, Mohamad Shafri Othman dan Mardiah Abd. Malek.

Pementasan sekitar 40 minit itu yang dianjurkan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memaparkan survival kehidupan Orang Asli dalam membina kehidupan sejagat rimba yang direstui dengan kepercayaan dan kepatuhan pada roh serta semangat nenek moyang mereka.

Memegang wakat utama, sebagai Hidup, pujian wajar diberikan kepada Sarina dan barisan pelakon lain kerana dalam tempoh kira-kira enam bulan menjalani latihan, mereka berjaya dibentuk bagi menjiwai watak masing-masing.

Walaupun Asal tidak bersandarkan dialog jauh sekali menggunakan props yang gah, selain permainan cahaya, improvisasi dari segi bahasa tubuh setiap pemainnya di sam­ping alunan muzik hutan dengan kicau burung, laungan unggas, kucah sungai dan desir angin serta nyanyian tradisi sudah mampu menarik penonton ke dalam dunia mereka.

Asal, paparan perjalanan kehidupan tradisi menuju semula kepada perjalanan asal sebenar, pertama kalinya dipentas untuk tontonan warga kampung Sungai Pergam dan ternyata suatu yang cukup mengujakan mereka.

Ia kemudian dibawa keluar ke Program Dakwah Negara yang diadakan di Universiti Kebangsaan

Malaysia (UKM) pada Mei tahun lalu, menjadi titik awal buatnya pasangan itu untuk terus menghidupkan naskah dakwah itu sekali gus mengekalkan pemain-pemainnya untuk siri teater keliling melibatkan 32 kawasan penemaptan orang Asli di seluruh negara.

Asal dipentaskan pula di sini pada bulan Oktober dan tentunya cukup bermakna dan penuh penghormatan bagi mereka, apabila Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda, Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat untuk menyaksikan persembahan.

Terbaharu, pihak produksi itu menerima undangan untuk mementaskan Asal di Sekolah Tinggi Seni Indonesia di Bandung, Indonesia yang di luar jangkaan mereka apabila turut diberi perhatian oleh pihak luar.

Mohamad Shafri berkata, pengalaman bersama anak-anak pentas Orang Asli untuk mengasuh dan membimbing mereka kerap menguji erti kesabaran namun ba­ginya suatu yang indah dan melegakan kerana percikan Islam makin berbenih dalam jiwa mereka dan masyarakat sekitar.

“Orang Asli memang dekat dengan kerja seni, mereka bermula dengan genetik alam misalnya bunyi angin, air, maka menerusi Asal, kita memaparkan survival kehidupan mereka dalam mencari penempatan baharu.

“Hutan belantara dan khazanah rimba yang kaya menjadi harapan dan kemegahan mereka, tetapi tidak selamanya pokok hutan menjadi bumbung hidup, tanah menjadi alas tidur dan siulan burung menjadi penyedap halwa telinga,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan kali pertama para pelakon, Mohamad Shafri berkata, mereka yang berusia antara 11 tahun 29 tahun itu memberi kerjasama yang amat baik semasa ketika beliau dan isteri berada di penempatan selama enam bulan bagi me­latih dan membimbing.