Orang ramai boleh mendapat tiket percuma ke Taman Aktiviti Angry Birds yang terletak di Aras 3, pusat beli-belah Komtar JBCC, di sini dengan hanya mengumpul masthead Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia.

Pengarah Eksekutif Damansara Assets Sdn. Bhd., Yusaini Sidek berkata, Peraduan Kumpul dan Tebus yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Kumpulan Utusan itu berlangsung selama sebulan bermula esok.

“Orang ramai hanya perlu mengumpul sebanyak 15 keping masthead Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia untuk mendapatkan sekeping tiket percuma ke Angry Birds.

“Peraduan ini dianjurkan sempena sambutan ulang tahun pertama Taman Aktiviti Angry Birds. Taman Aktiviti Angry Birds ini adalah yang pertama seumpama­nya di Asia Tenggara dan mempunyai pelbagai jenis permainan dan aktiviti yang sesuai untuk golongan berkeluarga menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, peraduan tersebut menyediakan sebanyak 3,500 tiket percuma dan orang ramai boleh menebus seberapa banyak tiket yang diinginkan.

“Namun, mereka perlu menebus setiap tiket dengan menyertakan 15 keping masthead Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia yang disiarkan dari tarikh 16 November ini hingga 16 Disember 2015.

“Penebusan tiket ini berdasarkan siapa cepat dia dapat dan boleh didapati hanya di Pejabat Biro Utusan Malaysia Johor di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru,” katanya.

Yusaini berkata, bagi memudahkan orang ramai menebus tiket percuma masing-masing, pihak Utusan Malaysia akan menyediakan kaunter pada setiap hari Sabtu dan Ahad mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, tiket berkenaan boleh digunakan pada bila-bila masa termasuk hari cuti umum dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan tempoh sah laku tiket sehingga 31 Januari 2016.

Justeru, orang ramai yang ingin merasai keseronokan pelbagai permainan dan aktiviti di Taman Aktiviti Angry Birds tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk berhibur bersama-sama keluarga secara percuma.