Bagaimanapun, usaha ini tidak menampakkan kemajuan tinggi dari segi pertambahan jumlah pelancong berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang mencatatkan peningkatan mendadak.
Wartawan Utusan Malaysia NIK HAFIZUL BAHARUDDIN dan jurugambar HALIM KHALID menemu bual Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), UZAIDI UDANIS untuk mengenal pasti permasalahan berlaku dan peranan yang perlu dimainkan semua pihak khususnya orang ramai dalam mempromosikan sektor pelancongan negara ke pentas global.

 

UTUSAN: Apa cara terbaik mempromosikan negara kepada dunia luar?

UZAIDI UDANIS: Saya lihat cara paling berkesan sekarang ini ialah orang ramai. Mereka perlu memainkan peranan penting dengan menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk mempromosikan produk pelancongan negara.

Ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan selain me­ngurangkan kos serta memberi impak yang tinggi.

Gunakan peluang ini lebih-lebih lagi apabila kita dikenal pasti antara paling ramai memiliki akaun media sosial di Asia Tenggara.

Kita perlu tanamkan di dalam minda bahawa Tourisme For All.

Sejauh mana mesej pelancongan itu penting kepada ma­syarakat?

Ya, ia terlalu penting dan mejadi antara elemen utama yang perlu diterapkan semua pihak.

Ingin saya maklumkan bahawa kita alami pengurangan pertumbuhan pelancongan sebanyak 1 peratus pada tahun ini berbanding Vietnam yang meningkat sehingga 29 peratus.

Ini disebabkan ‘kuasa rakyat’ itu sendiri yang agresif dalam mempromosikan lokasi menarik serta produk pelancongan istimewa di negara mereka.

Sedangkan kita masih di paras lemah meskipun kita ketahui bahawa negara ini mempunyai pelbagai destinasi bandar dan desa, sungai dan tasik, kebun dan ladang, pantai dan hutan, buah-buahan dan sayu­ran-sayuran tempatan menarik untuk dilawati dan dirasai.

Usaha lain yang perlu digarap dan diberi perhatian oleh­ Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta agensi pelancongan negara?

Pihak kementerian dan agensi pelancongan negara termasuk badan-badan yang berkaitan de­ngan industri pelancongan perlu konsisten promosikan pelanco­ngan di luar negara supaya dapat menarik minat dan perhatian orang luar untuk datang ke Malaysia.

Kita perlu sentiasa membuat hebahan seperti ‘making the right noises’ dalam iklan surat khabar, billboard dan televisyen di luar negara.

Dengan cara itu, orang luar akan sentiasa dengar dan mengetahui mengenai keistimewaan Malaysia.

Adakah tindakan ini membantu dalam meningkatkan ranking negara paling ramai dilawati?

Benar sekali. Malaysia amat bertuah kerana sudah terkenal dan berada dalam ranking 20 bandar paling ramai dilawati.

Sekarang kita mahu maju ke depan lagi dengan melonjakkan serta menggalakkan lebih ramai rakyat mempromosikan negara sendiri melalui media sosial, termasuk memberitahu rakan taulan yang tinggal di luar negara.

Kita perlu berce­rita dengan bangganya mengenai keistimewaan negara kita. Muat naik apa sahaja gambar-gambar menarik seperti KLCC, Menara KL, Dataran Merdeka, Muzium Negara selain kawasan kampung dan pendalaman untuk memukau perhatian mereka.

Itulah cara yang saya fikir pa­ling efektif buat masa ini.

Usaha MITA da­lam mengajak rakyat menjadi ‘ejen’ pelancongan negara?

Antara usaha terkini yang MITA lakukan ialah mengadakan program Tour Buddy dengan kerjasama Perbada­nan Ekonomi Di­gital Malaysia (MDEC). Program ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pen­duduk kampung terutama golongan B40 supaya menceburi industri pelancongan dengan memperkenalkan tempat tarikan pelancongan baharu di Malaysia.

Mereka bagaikan seperti menjadi tuan rumah atau hos tanpa perlu melalui tour agent dan tour guide. Kami menjangkakan melalui Tour Buddy, mereka boleh menjana pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan. Seramai 2,000 orang awam atau syarikat yang akan menjadi Tour Buddy menje­lang akhir 2018 dan peserta akan diberikan latihan selama sebulan serta menggunakan aplikasi mudah alih sedia ada yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Harapan terhadap industri pelancongan negara?

Keterlibatan masyarakat itu sendiri untuk menjadi ejen dan duta pelancongan negara dengan menggunakan ilmu, kemahiran dan kreativiti sendiri.

Kita perlu bekerja keras demi mencapai sasaran empat juta pelancong dari negara Cina pada tahun depan berbanding 2.6 juta tahun ini.

Kita juga menyasarkan seramai 38 juta pelancong luar yang memasuki negara ini menjelang 2020.

Semoga usaha ini memberi impak tinggi khususnya dalam me­ngukuhkan ekonomi negara dan memberi pendapatan tambahan kepada masyarakat.

Kongsikan secara ringkas per­kembangan MITA Travel Fair 2018?

MITA Travel Fair sekali lagi menemui orang ramai di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 19 Januari hingga 21 Januari 2018.

Ini adalah antara acara pelancongan terbesar yang menyaksikan lebih 1,000 gerai pameran dibuka melibatkan jualan pakej pelanco­ngan serta produk-produk makanan tempatan.

Menariknya pada program kali ini MITA membawakan 200 ejen pelancongan dari Eropah, Amerika Syarikat dan China untuk berkunjung ke sini dan me­ngadakan rundingan bersama vendor-vendor tempatan.

Orang kampung dan mereka yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) perlu ambil peluang tersebut untuk jual produk dan perkenalkan jenama mereka kepada ejen tersebut.

Kita sasarkan seramai 100,000 pengunjung pada program ber­kenaan.