Dengan jumlah penduduk sekitar 25,000 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, kedudukannya dari pusat bandar raya Melaka iaitu kira-kira 45 kilometer ada yang menganggap Kuala Linggi seolah-olah terpinggir sedangkan ia memainkan peranan penting sebagai pintu masuk dari selatan Negeri Sembilan.

Kerajaan negeri telah me-rangka pelbagai perancangan bagi membangunkan Pelabuhan Linggi yang akan dila­­k­sanakan secara berpe­ringkat dan dijangka mampu menyedia­kan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron sebelum ini pernah memaklumkan, pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Linggi membuktikan kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan DUN tersebut.

“Dengan adanya Pelabuhan Linggi nanti, ia akan menjadikan DUN ini lebih maju dan moden seiring dengan hasrat kerajaan negeri memajukan semua lokasi di Melaka,” kata Id­ris yang turut mahu memastikan sektor pendidikan dibangunkan dan menyasarkan Kolej Universiti Islam Melaka dan Akademi Laut Malaysia yang terletak di kawasan itu mencapai taraf universiti penuh.

Terbaharu, kerajaan negeri menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan mewujudkan pusat kesihatan berasaskan herba atau ‘MARDI Herbs Centre’ yang pertama di negeri ini di Stesen MARDI Kuala Linggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman memberitahu, pusat kesihatan tersebut akan menggunakan kaedah rawatan berasaskan herba yang dihasilkan sendiri oleh MARDI dan ianya termasuk perkhidmatan rawatan kecantikan dan spa urutan lelaki untuk lelaki dan wanita untuk wanita.

“Selepas ini, kita ada Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dan sudah pasti banyak peluang pekerjaan disediakan kepada tenaga kerja tempatan dan luar,” kata Hasan ketika merasmikan Bertemu Pelanggan MARDI di stesen itu baru-baru ini.

Idea tersebut seme­mangnya menarik ditambah dengan prospek Kuala Linggi yang bakal membangun dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.

Cuma sesuatu perlu difikirkan kerajaan negeri bagaimana untuk menarik pelancong yang datang ke negeri itu hanya untuk bermalam atau bercuti di kawasan DUN tersebut.

Maknanya, kemudahan dan kelengkapan prasarana pelancongan perlu lengkap di kawasan Kuala Linggi termasuk menyediakan perkhidmatan hotel, calet atau rumah inap yang harganya jauh lebih murah berbanding di bandar.Jika semua ini dilengkapkan, pasti pelancong akan seronok berkunjung ke Kuala Linggi dan tidak perlu lagi ke bertumpu hanya di pusat bandar raya Melaka.