Lima kursus baharu itu ialah pengajian Al-Quran dan Hadis, Al-Quran dan Tafsir, Al-Quran dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Al-Quran dan Muamalat serta Al-Quran dan Pengurusan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, menjelang tahun 2019, kolej berkenaan bersedia membuat pengambilan pelajar mencecah 300 orang.

Jelas beliau, pada masa ini terdapat 89 pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat dip­loma dalam bidang Tahfiz Qiraat dan Tahfiz Bahasa Arab di KQT.

“Biasanya, pengambilan pelajar baharu dibuat setahun sekali iaitu pada bulan Mei dengan 60 orang pelajar untuk setiap pengambilan bagi mengikuti dua program pengajian yang kita sediakan iaitu Tahfiz Qiraat dan Tahfiz Bahasa Arab.

“Peluang menyambung pe­ngajian di KQT terbuka kepada semua, bukan terhad pada anak Terengganu saja. Namun untuk pengambilan pelajar luar negara, buat masa ini kita masih belum bersedia ke arah itu,” jelasnya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas me­rasmikan majlis Haflu Al-Takrim Al-Sanawi Kolej Al-Quran Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengelola merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail; Ketua Eksekutif KQT, Prof. Madya Dr. Ahmad Bazli Shafie serta timbalannya, Zulkifli A. Kadir.

Dalam majlis anjuran bersama KQT dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, seramai 20 pelajar menerima diploma manakala 270 pelajar lagi me­nerima sijil.

Dalam perkembangan sama, Ghazali menarik perhatian bahawa kerajaan negeri akan mengkaji keperluan mewujudkan kolej al-Quran seumpama itu di setiap daerah di negeri ini bagi meme­nuhi permintaan masyarakat mendalami al-Quran.

Beliau mengakui setakat ini KQT merupakan satu-satunya institusi al-Quran di negeri ini yang menjadi tumpuan masyarakat Islam dari seluruh negeri ini.

“Kita akan buat kajian tentang keperluan serta minat masyarakat di semua lapan daerah di Terengganu dan kita juga mengalu-alukan pihak swasta yang sudi sediakan premis atau tempat untuk diwakafkan kepada MAIDAM atau terus kepada institusi ini (KQT) untuk dijadikan pusat mengaji al-Quran di daerah-daerah.

“Dari segi tenaga pengajar pula, kita tak ada masalah kerana kita boleh panggil para pensyarah serta qari-qari untuk berkhidmat di institusi al-Quran itu nanti,” jelasnya.