CHOW KON YEOW
CHOW KON YEOW

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada masa ini PSR masih menjadi model pembiayaan tunggal bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) walaupun Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan alternatif lain.

Beliau berkata, cadangan pembiayaian melalui PSR ini bukan sahaja dapat menampung sepenuhnya kos pembinaan projek LRT dan PIL1, malah akan membantu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan melalui penjanaan pendapatan daripada pembangunan tanah PSR.

"Sekiranya PSR tidak dilaksanakan maka Kerajaan Negeri perlu mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai projek LRT dan PIL 1," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mengenai cara yang lebih lestari dan kos efektif dalam pelaksanaan PTMP.

Kon Yeow berkata, projek PSR juga satu daripada langkah penyelesaian dalam memastikan kelestarian pembangunan ekonomi di Pulau Pinang pada masa hadapan.

"Selain menjadi model kewangan kepada PTMP, projek PSR dilihat dapat mengatasi masalah perbandaran yang dihadapi di Pulau Pinang," katanya.
Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri memandang serius pelaksanaan merasionalisasikan PTMP ini dan telah mengemukakan pemohonan kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan peruntukan pembangunan untuk membiayai projek LRT.

"Sekiranya permohonan untuk mendapatkan peruntukan pembangunan tidak diluluskan Kerajaan Negeri turut memohon agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pinjaman tanpa faedah untuk pelaksanaan projek LRT itu," katanya. - BERNAMA