FADZIL Puasa menunjukkan album kompilasi dihasilkan Muzik Box Productions untuk pasukan bola sepak JDT di Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor, semalam.

Kompilasi itu memuatkan lima lagu dalam Bahasa Melayu dan Inggeris daripada kumpulan Zero One Heroes, Orkes Marhaen, Never Ending Threats (NET), The Explecit dan The Final Whistle.

Setiap band membawakan konsep dan muzik berbeza contohnya Zero One Heroes dan The Final Whistle memainkan irama Oii, Orkes Marhaen berentak reagge sementara NET pula (hardcore) manakala The Explecit (punk).

Menurut Pengurus MBP, Fadzil Puasa, kompilasi itu berbeza de­ngan lagu-lagu yang dirakamkan artis Johor sebelum ini khusus untuk pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Jelas beliau, kali ini MBP menampilkan kelainan dengan mempersembahkan kumpulan-kumpulan underground yang mempunyai nama dan pengikutnya sendiri di negara ini.

“Muzik yang ditampilkan Ngauman Selatan agak sedikit keras tetapi unik dan mempu­nyai stail muzik masing-masing. Ini adalah satu penghormatan MBP untuk JDT.

“Semua lagu adalah mengenai bola sepak, semangat dan perpaduan terutamanya berkenaan JDT. Semua ini diterjemahkan dalam bentuk lagu,” katanya ditemui di sini hari ini.

Katanya, MBP yang berpangkalan di bandar raya ini berharap, kompilasi itu akan menjadi sumbangan untuk JDT kerana mengharumkan nama Johor dalam areana bola sepak.

Fadzil berkata, kompilasi dengan harga RM25 dalam bentuk cakera padat (CD) tidak dijual di kedai-kedai biasa sebaliknya boleh dibeli secara atas talian.

Album kompilasi ber­kenaan boleh didapati menerusi [email protected] atau 011-40455271.