Komitmen padu seluruh warga kerjanya bersama barisan kepimpinan majlis dalam memberi perkhidmatan terbaik telah membawa banyak perubahan, kemajuan serta kesenangan kepada rakyat berbilang bangsa di daerah tersebut.
Wartawan Utusan Malaysia, Fadzly Izab bersama jurugambar, Azli Ahad menemu bual Yang Dipertua MPAG, Ismail Hasim bagi mengetahui lebih lanjut mengenai peranan dan fungsi dimainkan majlis dalam membangunkan daerah serta negeri ini.

 

Utusan Malaysia: Boleh tuan ceritakan serba sedikit mengenai sejarah MPAG?

Ismail: MPAG pada awal penubuhannya dikenali sebagai Majlis Luar Bandar Alor Gajah sebelum disusun semula mengikut Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan diiktiraf sebagai Majlis Daerah Alor Gajah pada 1 Julai 1978.

Disebabkan pembangunan pesat yang berlaku termasuk peningkatan jumlah penduduk di daerah ini, ia kemudian dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah pada 1 Mei 2003.

Pentadbiran MPAG merangkumi kawasan seluas 63,584 hektar membabitkan tiga bandar utama iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah dan Pulau Sebang. Penduduk dalam kawasan ini dianggarkan seramai 173,407 orang di 31 mukim dan 11 pekan kecil dalam daerah Alor Gajah.

Apakah visi dan misi MPAG dalam memacu pembangunan daerah serta negeri?

Visi MPAG iaitu menjadikan Alor Gajah Perbandaran mampan ke arah teknologi hijau menjelang 2020 selaras dengan visi kerajaan negeri menjadi Negeri Bandar Teknologi Hijau dengan menekankan aspek pembanguan tanpa menjejaskan ke­perluan generasi masa hadapan.

Apakah peranan utama dan fungsi MPAG?

Peranan utama majlis ini untuk memperkasakan tadbir urus dan mening­katkan keupayaan organisasi bagi menjalin kecemerlangan perkhid­matan.

MPAG juga berperanan memperkasakan perkhidmatan perbandaran untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat, membangunkan sosio ekonomi yang dinamik untuk kemakmuran komuniti serta memastikan pengurusan pembangunan sentiasa di tahap tertinggi demi kesejahte­raan komuniti.

Apakah bidang tujahan yang menjadi kekuatan MPAG?

MPAG begitu fokus terhadap aspek Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan memi­nimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Transformasi teknologi hijau MPAG telah menggerakkan usaha Perancangan dan Pelaksanaan Teknologi Hijau untuk semua sektor dalam kawasan pentadbiran MPAG berdasarkan polisi kerajaan negeri.

Melalui kepakaran warga kerja MPAG dalam bidang ini, beberapa program teknologi hijau telah dilaksanakan di pelbagai peringkat.

Antaranya Rancangan Kawasan Khas Melaka World Solar Valley, Program Komuniti Lestari Kampung Pulau Sebut (Kebun Hijau), Projek Komuniti Suria Taman Rembia Berkasa (Pemasa­ngan panal solar pada bumbung rumah), Kebun kejiranan Hijau Taman Perumahan dan Sistem Penuaian Air Hujan MPAG.

Nyatakan pencapaian utama yang pernah diraih MPAG?

MPAG telah merangkul pelbagai pencapaian dan anuge­rah sepanjang ditubuhkan sehingga kini dan antara pencapaian terbaik yang berjaya dicapai termasuklah menjadi tuan rumah bagi program Urban Environmental Accord (UEA) Melaka Summit 2017.

Bagi anugerah pula, MPAG pernah menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Pejabat, Anugerah Hijau Negeri Melaka 2017, Anugerah Tandas Bersih Sempena Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 dan rekod kebangsaan bagi Longest Mountain Bike Off Road Track yang berjaya meletakkan nama MPAG dalam The Malaysia Book Of Records.

Apakah bentuk penambahbaikan yang dilaksanakan MPAG terutamanya dari segi per­khid­matan dan pembangunan sehingga kini?

Dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini sejak 2014, banyak pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf telah dilaksa­nakan MPAG di sebahagian besar kawasan kelolaannya.

Ini termasuklah membina Kolam air Panas Cherana Putih (2014), membina Perhentian Bas Masjid Tanah (2016) bagi keselesaan masyarakat setempat dan kawasan riadah di Taman Rekreasi Durian Daun, Masjid Tanah (2017).

Kerja-kerja menaiktaraf pula turut dilaksanakan antaranya tandas awam, lampu awam, jalan, lampu isyarat, papan tanda arah dan mengecat semula bangunan.

Selain itu, MPAG turut membina 19 unit rumah baharu dan membaikpulih 26 buah rumah golongan kurang berkemampuan melalui program bantuan baik pulih rumah daif di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

 

Selain itu, apakah pula pembangunan yang telah dirancang dan akan dilaksanakan majlis pada masa depan?

MPAG sudah tentu sentiasa memikirkan pembangunan serta kemajuan berterusan bagi memberi faedah kepada masyarakat di daerah dan negeri ini pada masa depan dan antara projek sedang dalam pelaksanaan termasuklah pembinaan Terminal Bersepadu Pulau Sebang (dijangka siap pada 2020), pejabat baharu MPAG di persimpangan Jelatang, projek Perumahan PR1MA di empat lokasi dalam daerah Alor Gajah, sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sungai Udang dan sebuah kilang ste­sen jana kuasa elektrik di Teluk Gong.

Bagi menceriakan bandar Alor Gajah pula, pihak majlis bekerjasama dengan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (UiTM) Melaka untuk membuat mural di sekitar bulatan Alor Gajah, lorong belakang Pejabat Pos Alor Gajah, Bandar Masjid Tanah dan Bandar Pulau Sebang.

MPAG turut merancang beberapa pembangunan baharu antaranya projek ekopelanco­ngan menyusuri Sungai Paya Lebar hingga ke Linggi, menaik taraf pelancongan persisiran Pantai Tanjung Bidara dan pembinaan kawasan perniagaan secara terbuka bersebelahan Balai Polis simpang Ampat, Alor Gajah.

Turut dirancang pembinaan pelantar, jambatan dan tembok penahan air di Kolam Banjir Durian Daun.