TANGKAK 19 Jun – Biarpun Ramadan sudah memasuki penghujungnya, aktiviti bagi mengimarahkan bulan suci umat Islam itu sentiasa dianjurkan termasuk program kebajikan, kerohanian dan seumpamanya.
Bagi Kolej Komuniti Ledang, dekat sini, mereka mengambil pendekatan tersendiri dalam mengimarahkan bulan Ramadan apabila menganjurkan aktiviti Konvoi Amal Bubur Lambuk ke 10 agensi berbeza di daerah ini.
Agihan sebanyak 400 bungkus bubur lambuk itu dilakukan ke setiap agensi, antaranya Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Balai Polis Tangkak, Pejabat Tanah, Majlis Daerah Tangkak, Pejabat Penerangan, Klinik Kesihatan Payamas, Plaza Tol Tangkak, Rumah Anak-Anak Yatim Ledang dan Pusat Tahfiz al-Quran Darul Tuba.
Pengarah kolej tersebut, Mohd. Amin Ali berkata, aktiviti memasuki tahun kelima itu dianjurkan bagi mengambil peluang membuat kebajikan agar keberkatan Ramadan turut diraih bersama selain memupuk semangat kerjasama sesama umat Islam serta ganjaran akhirat yang diharapkan.
“Program khidmat masyarakat ini berkosepkan gotong-royong melibatkan seluruh warga Kolej Komuniti Ledang dalam penyediaan makanan dan minuman serta sumbangan ikhlas kepada pihak yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Amin, program itu mampu mengimarahkan suasana keprihatinan pada bulan Ramadan dalam kalangan warga Kolej Komuniti Ledang dan komuniti setempat selain merasai nikmat berbuka puasa bersama-sama.
Malah, programn tersebut berjaya membuka minda warga kolej serta memberi kesedaran tentang peranan mereka di institut berkenaan melalui aktiviti-aktiviti sumbangan kepada masyarakat.