Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Iskandar Investment Bhd. (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, projek pembinaan kolam tersebut akan bermula pada tahun depan dan dijangka disiap­kan menjelang Jun.

Menurutnya, pembinaan kolam itu adalah selaras de­ngan peraturan ditetapkan bagi penganjuran kejohanan antarabangsa.

“IIB ada perancangan untuk menambah fasiliti di kompleks itu, sekarang kita ada sebuah kolam Olimpik. Jadi, kita akan bina sebuah kolam pemanas badan untuk atlet dan dengan ada kolam itu pelbagai acara renang bertaraf antarabangsa dapat dianjurkan di situ.

“Kolam itu akan dibina de­ngan keluasan 25 meter. Untuk kolam Olimpik tiada masalah sebab memang direka ikut saiz diluluskan, iaitu 50 meter,” katanya selepas menyempurnakan program menanam pokok, Leaf a Legacy di Lake 2 Educity, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Kamarudzaman Abdul Mubin.

Khairil Anwar berkata, inisiatif untuk menaik taraf kemudahan itu juga dilakukan selepas melihat potensi besar dimiliki atlet Johor yang sebahagiannya turut menjalani latihan di fasiliti tersebut.

“Kita lihat baru-baru ini, Johor menang enam emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Perak. Salah seorang atletnya menang tiga emas serta dia berlatih di sini dan merupakan satu kebanggaan buat IIB kerana dapat membantu dalam pembangunan sukan di Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan status pembinaan sebuah lagi padang ragbi yang sedang dibangunkan di kawasan berhampiran dengan kos dianggarkan RM2.5 juta dan kini sudah 30 peratus siap.

“Educity juga sudah dikenali menerusi penganjurannya dalam beberapa temasya besar untuk sukan ragbi dalam negara. Jadi, padang baharu ini diyakini dapat menarik lebih banyak penganjuran sukan itu pada masa akan datang,” katanya.