Program tahunan yang kini menjadi legasi dan bersifat identikal diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu mencetuskan fenomena dan semaraknya sendiri.

Perjalanan KMJ 2017 yang meli­batkan sembilan kereta kla­sik jenis Morgan dari Britain serta 30 motosikal berkuasa besar diuji dan dicabar dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Sudah tentu bermacam-ma­cam kenangan dalam KMJ 2017 menandai momennya yang tersendiri apabila Sultan Johor mencemar duli bertemu dan menjadi 'rakyat biasa' menerusi jelajah tersebut yang mengambil masa empat hari.

Tidak dapat dinafikan dua ke­reta Morgan berwarna krom dan hijau pucuk pisang mencuri tumpuan rakyat jelata. Orang Johor teruja apabila baginda ‘beraksi’ dengan kereta klasik tersebut meredah jajahan takluk negeri ini khusus untuk KMJ 2017.

Antara yang segar dalam inga­tan dan menjadi sebutan ialah apabila Sultan Johor tiba dalam keadaan separuh basah di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi pada hari pertama konvoi KMJ 2017.

Ternyata hujan lebat tidak menghalang atau mematahkan se­mangat baginda untuk bertemu kira-kira 500 peneroka Felcra tersebut yang turut tidak berganjak menantikan Sultan Johor berangkat tiba walaupun hujan lebat sebelum itu.

Menariknya juga pada hari kedua kembara berkenaan apabila baginda berkenan menyelam dan menyempurnakan majlis pe­lancaran logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Pulau Mensirip, Taman Laut Sultan Iskandar, Mersing.

Baginda meletakkan logo MBIP pada struktur Tukun Replika Bangunan Sultan Ibrahim di dasar laut pulau itu dengan menyelam selama 15 minit. Tukun itu juga tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Struktur Tukun Tiruan Terbesar.

Sultan Johor kemudian meme­cahkan dan melangkah tembok feudal bertemu rakyat jelata di Batu Pahat, Segamat dan Muar pada hari ketiga KMJ 2017. Kemudian Institusi diraja dan Istana Johor itu mendekati rakyat di Pontian dan Kulai pada hari terakhir kembara.

Kerabat diraja Johor itu melihat dan mengambil bahagian da­lam program bersama-sama komuniti seperti demonstrasi memasak, sukan rakyat, lawatan ke tempat pameran, gerai-gerai serta penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

KMJ kali ini istimewa kerana dianjurkan semasa negara masih menyambut Hari Kebangsaan selain bakal menyambut Hari Malaysia pada Sabtu ini. Hari pertama KMJ 2017 juga jatuh pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Pastinya semua kelebihan itu dapat mengukuhkan ikatan kenegerian dan menyimpul erat ikatan nasionalisme supaya jalinannya tidak terlerai atau ‘kusut’. Jalur Gemilang wajar dikibarkan de­ngan bangga dan penuh martabat bersama-sama bendera Johor sepanjang KMJ 2017.

Kembara tersebut yang memasuki edisi ke-20 kali ini sepatutnya diadakan postmortem un­­tuk melihat impaknya kepada rakyat dan bagaimana perhubu­ngan dua hala itu dapat diterjemahkan secara tersurat dan tersirat untuk Johor yang berdaulat.

Mungkin edisi KMJ akan da­tang protokol yang masih menjadi ‘tembok’ pemisah antara kerabat diraja Johor perlu dilenyapkan. Ini bagi membolehkan rakyat bawahan berpeluang mendekati pewaris tahta Kesultanan Johor!

Namun antara keunikan KMJ setiap kali diadakan di peringkat daerah, wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan ‘mengamalkan’ integriti serta me­ninggalkan politik kepartian. Mereka duduk bersama-sama meninggalkan ideologi dan imperialisme politik masing-masing.

Begitu juga melalui KMJ, ba­ginda yang turun dari singgahsana serta berpanas berhujan di jalanan akan melihat sendiri pembangunan di daerah-daerah dilaluinya. Sultan Johor dapat menilai sendiri perkembangan daerah sebelum memberi nasihat, teguran dan saranan kepada kerajaan negeri untuk menambah baik segala dasar serta agenda pembangunan Johor.