Naib Presiden Kanan dan Ketua Pengurusan Pasaran Zurich, Junior Cho berkata, pakej penyelesaian insurans yang dikenali sebagai The Makeover Care itu menangani isu-isu umum yang dihadapi oleh pemilik hartanah.

Katanya, ia membolehkan mereka menikmati perlindungan komprehensif bagi hartanah yang disewa termasuk kelengkapan rumah, perabot dan pada masa sama mengelakkan risiko yang kebiasaannya ditanggung oleh mereka.

Jelas beliau, The Makeover Care meliputi kerosakan terhadap kandungan rumah yang dibina dan disediakan oleh The Makeover Guys, termasuk kerosakan disebabkan oleh kecuaian, salah laku atau niat jahat penyewa walaupun mempunyai dokumen perjanjian penyewaan dan deposit sewa.

“Kami di Zurich sentiasa menerokai peluang yang unik dan lain daripada biasa yang akan memanfaatkan pelanggan dan melindungi segala yang mereka hargai. Kami faham bahawa pembelian hartanah adalah satu pelaburan besar yang memerlukan isi dalamannya dilindungi dengan baik.

“Kami yakin The Makeover Guys akan membuka jalan bagi pelanggan untuk mendapatkan penyelesaian holistik bagi pelaburan hartanah mereka dari peringkat awal lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

The Makeover Guys adalah sebuah syarikat tempatan yang berdedikasi untuk membantu pelabur hartanah merangsangkan pulangan pelaburan melalui pengubahsuaian hartanah strategik.

Dengan kemasukan perlindungan insurans sebagai sebahagian daripada kos pengubahsuaian dan penambahbaikan, pemilik hartanah boleh mengubahsuai hartanah yang disewa tanpa bimbang dam menyediakan penyewa dengan pilihan rumah dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

Inisiatif terbaru itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Zurich untuk menyediakan pelanggan dengan penyelesaian inovatif bagi memenuhi keperluan mereka yang sentiasa berubah.

Mulai 1 April 2019, pemilik hartanah di sekitar Lembah Klang yang mendapatkan perkhidmatan The Makeover Guys bagi mengubah suai hartanah untuk disewa akan menerima insurans kandungan rumah ditaja jamin oleh Zurich secara percuma.

Habis.