Datuk Ir. Zohari Sulaiman

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Shahril Mokhtar berkata, pengalaman dan pengetahuan luas dimiliki Zohari dalam industri rel merupakan kelebihan bagi projek itu memandangkan laluan ketiga MRT akan dijalankan tanpa peranan rakan pelaksana projek.

“Zohari telah berada di dalam industri ini selama lebih 36 tahun. Latar belakang beliau dalam kejuruteraan kereta api, penyelenggaraan, baik pulih, keselamatan teknikal serta pengalaman dalam operasi rel berat dan ringan sangat penting kerana rangkaian MRT terus berkembang di Lembah Klang,” katanya.

Menurut Shahril, pengalaman luas yang dimiliki Zohari merupakan aset penting kerana MRT laluan lingkaran akan dibangunkan berdasarkan model kontraktor tunggal dan ini memerlukan penyeliaan langsung terhadap pembinaan dan keselamatan projek tersebut.

Zohari adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd. dan sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau mempunyai pengalaman sendiri dengan MRT apabila Rapid Rail dilantik menjadi pengendali MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

MRT laluan lingkaran akan dibina sepanjang 40 kilometer (km) di mana 32km adalah bawah tanah dan laluan ini akan mempunyai sebanyak 26 stesen. - UTUSAN ONLINE