Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 29.85 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu melibatkan seramai 40,963 bilangan pembayar.

"Berdasarkan kutipan tersebut, kita percaya jumlah itu mampu meningkat dengan sasaran RM80 juta tahun depan.

"Alhamdulillah, peningkatan ini menunjukkan penambahan jumlah pembayar yang sangat ketara dan saya memberi jaminan, hasil kutipan zakat ini akan diagihkan kepada golongan asnaf secara adil mengikut lunas ditetapkan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima zakat perniagaan berjumlah RM1.06 juta daripada 11 agensi dan syarikat korporat, di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.

Penyerahan zakat berkenaan disampaikan oleh wakil-wakil agensi berkaitan kepada Idris yang juga Pengerusi Zakat Melaka.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md. Amin dan dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil.

Dalam pada itu, Idris yang juga presiden Himpunan Belia Sedunia (WAY) memberi amaran keras kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya menarik balik hasratnya untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Katanya, kedegilan Trump untuk menarik balik kenyatan ber­kenaan, dikhuatiri akan membangkitkan lagi amarah umat Islam seluruh dunia, sekali gus boleh menyebabkan keamanan serta keharmonian global akan tergugat.

"Saya ingin mengingatkan Trump, jangan cuba menguji kekuatan dan ukhuwah umat Islam seluruh dunia, dikhuatiri kelak (hasrat itu) akan menyebabkan satu ‘malapetaka’ lebih besar kepada keamanan dan keharmonian kita.

"Saya percaya pemimpin negara Islam dunia sedang berbincang mengenai perkara itu, bahkan, pemimpin negara bukan Islam seperti British juga sudah memberi kenyataan keras menentang hasrat menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel," kata­nya lagi.