Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, menerusi peruntukan itu, YWP melaksanakan beberapa program berbentuk seminar kecemerlangan pelajar dan guru serta keceriaan sekolah.

Menurutnya, antara tum­puan melalui peruntukan itu adalah program bersama pelajar tajaan, Skim Biasiswa Pengajian Tinggi dan bantuan makanan untuk pelajar kurang berkemampuan.

“Setiap tahun YWP membelanjakan jutaan ringgit untuk bidang pendidikan bagi memastikan setiap sekolah, guru dan pelajar khususnya di Wilayah Persekutuan terus diperkasa serta mem­bela pelajar tidak berkemampuan.

“Dengan adanya peruntukan itu, beberapa program berimpak tinggi dapat dilaksanakan khusus untuk meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar terutamanya dalam peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentafsiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang YWP 2017 di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Roslan Hassan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, lebih 500 pelajar daripada seluruh sekolah di Wilayah Persekutuan mendapat pengiktirafan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Program ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada anak-anak Wilayah Persekutuan kerana te­lah berjaya memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan tahun lalu,” katanya.