Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, program yang dianjurkan setiap minggu itu bertujuan mendekati dan menyantuni masyarakat akar umbi yang memerlukan bantuan.

“Program ini telah berlangsung sejak empat tahun lalu dan bukan program musim pilihan raya. Menerusi program ini, kami menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dapur dan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

“Program tersebut dianjurkan oleh tiga sayap UMNO Bahagian Bandar Tun Razak secara bergilir-gilir. Setiap minggu kami akan membantu enam buah keluarga yang kurang berkemampuan dan mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyampaikan sumbangan tersebut di Perumahan Awam (PA) Sri Johor di sini.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Habibah Katan, 56, berkata, dia terharu dan bersyukur menerima bantuan tersebut yang dapat meringankan bebannya.

“Saya baru kehilangan suami yang meninggal dunia akibat sakit jantung Jun lalu. Saya turut menghidap penyakit darah tinggi dan sakit lutut menyebabkan pergerakan saya terbatas,” katanya. - UTUSAN ONLINE