Rata-rata pengunjung yang ditemui meluahkan rasa gembira kerana terdapat pelbagai bahan bacaan dengan harga promosi ditawarkan sepanjang pesta yang bermula dari 27 April sehingga Ahad ini.

Seorang guru, Nur Izzaty Sapian, 25, berkata, kunjungannya ke pesta buku itu bertujuan mendapatkan bahan-bahan bacaan untuk para pelajarnya.

“Berbanding harga di pasaran, buku-buku yang dijual di sini jauh lebih murah tanpa menjejaskan kualitinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Bagi Norkhamza Zainuddin, 36, pula berkata, dia memilih cuti umun hari ini untuk membawa anak-anaknya ke pesta buku bagi mendapatkan pelbagai bahan bacaan.

“Selain dapat meluangkan masa bersama keluarga, kesempatan ini diambil untuk menggalakkan minat anak-anak membaca apabila pelbagai bahan bacaan boleh diperoleh di sini,” katanya.

Sementara itu pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Hafizuddin Ab. Manaf, 21, pula berkata, kunjungannya ke pesta buku kali ini ini lebih bermakna apabila dapat bertemu dengan penulis kegemaran selain membeli bahan bacaan yang diperlukan. -UTUSAN ONLINE