Selain merebut peluang dalam sektor pembinaan, kebanjiran mereka di negara ini tidak dinafikan memberi kesan negatif dari sudut ekonomi penduduk tempatan.

Selepas sekian lama bertapak di negara ini, golongan itu kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bidang-bidang ‘kerja kasar’ bahkan ramai yang sudah menjadi tauke.

Salah satu daripada bidang yang semakin dimonopoli mereka adalah sektor perniagaan di pasar-pasar utama di sekitar Lembah Klang dan Se­langor.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang baru-baru ini mendapati hampir ke­seluruhan kawasan itu dipenuhi warga asing yang merupakan pemilik perniagaan dan pekerja am.

Tanpa mematuhi peraturan perniagaan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, aktiviti jual beli yang dilakukan dalam persekitaran kotor ternyata menimbulkan rasa tidak senang penduduk tempatan.

Tinjauan di lokasi juga mendapati kawasan sekitar pasar juga tidak dibersihkan selepas atau sebelum operasi bahkan ada sebahagian daripada mereka yang mengambil peluang menjual barang-barang terbuang seperti buah dan sayur-sayuran.

Kegiatan yang semakin tidak terkawal itu dikatakan berpunca daripada penyewaan tapak oleh peniaga tempatan kepada warga asing untuk meraih keuntungan cara mudah.

Justeru, orang ramai mahu pihak berkuasa iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah yang lebih tegas dalam mengawal aktiviti perniagaan warga asing yang jelas menyalahi undang-undang terutama daripada aspek pematuhan perlesenan.