Pengarah Muzium Negara, Azmi Ismail berkata, pihaknya mencari sesuatu yang berbeza dalam usaha menarik lebih ramai masyarakat menzahirkan tentangan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menurutnya, ini termasuk penglibatan kira-kira 100 kartunis tempatan dengan melukis kartun beramai-ramai menerusi karya masing-masing yang dilakarkan pada dua kanvas.

“kartun antara medium yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai isu dengan cara sinikal, kritikal atau mencuit hati.

“Hasil karya kartun sangat dekat dengan masyarakat dan mampu memberi impak sama ada positif atau negatif bergantung kepada apa yang dihasilkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar atau lebih dikenali sebagai Juragan berkata, semua kartunis yang ada untuk bersolidariti mempertahankan Baitulmuqaddis dengan menzahirkan perasaan marah, geram dan sebagainya dalam bentuk lukisan kartun.

“Tujuan program solidariti ini adalah bagi menunjukkan kepada masyarakat dan juga seluruh dunia bahawa golongan kartunis turut prihatin terhadap apa yang berlaku di Palestin.

Antara kartunis tanah air ter-kenal yang mengambil bahagian termasuk Jaafar Taib, Ayie dan Ujang.