Suasana panik bermula apabila haiwan yang tercedera di leher itu tersesat masuk ke kawasan masjid berkenaan sebelum mengejar jemaah yang berada di luar rumah ibadat tersebut.

Haiwan itu kemudiannya masuk ke dalam dewan solat sebelum menyondol salah seorang jemaah ketika waktu solat ba'diyah Maghrib sehingga menyebabkannya tercedera.

Imam Satu Masjid Sungai Plong, Ungku Ahmad Hazwan Ungku Kamarudin berkata, ketika kejadian ada dalam kalangan jemaah berusaha menyelamatkan diri serta ada yang berusaha menghalau binatang tersebut keluar dari dewan solat.

“Binatang tersebut akhirnya berjaya ditembak oleh salah seorang jemaah yang memiliki senapang patah. Pihak polis turut dihubungi bagi membantu menenangkan keadaan,” katanya menerusi status di akaun Facebook masjid itu semalam.

Video dari MEDIA SOSIAL

Dalam pada itu, Ungku Ahmad Hazwan memberitahu, kejadian tersebut telah menjejaskan kira-kira tiga per empat bahagian dalam masjid dan beranda.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, pihak masjid telah menghubungi pihak Jabatan Mufti Selangor bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Wakil mereka akan hadir esok bagi membuat penilaian berkaitan masalah sertu dan karpet masjid.

“Ketika ini, urusan solat jamaah diteruskan seperti biasa di ruang solat yang tidak terjejas. Saya memohon kepada semua terutamanya ahli kariah agar dapat bersama-sama berdoa supaya masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE