Majlis pembukaan jajaran sepanjang sembilan kilometer tersebut disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di Plaza Tol Sentul Pasar Tambahan, di sini.

Beliau berkata, lebuh raya itu bermula dari Jalan Tun Razak menghala ke utara melalui Jalan Pahang dan Jalan 9/48A serta dihubungkan ke jajaran Duke Fasa 1 termasuk Jalan Gombak di persimpangan bertingkat Sentul Pasar.

“TRL dijangka dapat membantu menyelesaikan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Jalan Tun Razak, bulatan di Jalan Pahang dan persimpangan Jalan Duta.

“Pada 23 Mei lalu, sebahagian jajaran ini dibuka kepada pengguna dengan melalui lencongan dari Jalan Tun Razak menghala ke Lebuhraya Duke sedia ada,” katanya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Jajaran TRL Lebuhraya Duke 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh; Pengarah Urusan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) (Kesturi), Tan Sri Lim Kang Hoo; Pengarah Urusan Kesturi, Tan Sri Lim Keng Cheng dan Pengarah Projek Duke 2, Zakaria Shaffie. - UTUSAN ONLINE