Video oleh Mohamad Athir Ismail

Itulah yang dihadapi oleh Cheryl Chen, 44, yang memberitahu bahawa tiada sambutan Tahun Baharu Cina baginya dan keluarga pada tahun ini.

Cheryl berkata, pengorbanan itu dilakukan oleh keluarganya demi menjaga anak lelakinya, Kennard Chan, 14, yang menghidapi leukimia dan dimasukkan wad sejak awal Januari lalu.

Beliau yang berasal dari Kajang itu tidak menyangka anaknya akan mendapat penyakit itu selepas disahkan oleh pegawai perubatan di Hospital Kajang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

“Saya tidak menyangka anak akan kena leukimia apabila dia mengadu terdapat bintik-bintik merah pada kulitnya.

“Simptom itu bermula sejak hujung Disember lalu namun awal-awal saya dan anak menganggapnya tidak serius hanya bawa ke klinik untuk dapatkan rawatan.

“Kemudian dia ambil masa terlalu lama untuk sembuh lalu doktor di klinik menyarankan anak dirawat di hospital Kajang,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Tambahnya, selepas membuat pemeriksaan di Hospital Kajang, doktor mengesahkan Kennard Chan menghidap penyakit Leukimia Akut Limfositik (ALL) dan menasihatkannya untuk mendapatkan rawatan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Walaupun berat dugaan yang menimpanya, namun beliau masih mampu tersenyum apabila ditanya mengenai persediaan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Kami sekeluarga sepakat berkorban untuk tidak sambut Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Cuma pada hari itu nanti, kami sekeluarga akan berada di hospital menemani Kennard untuk beri sokongan kepadanya,” ujarnya ketika lawatan Persatuan Kakitangan Kumpulan Syarikat Puncak Niaga (Peka) di wad kanak-kanak kanser di HKL.

Walau bagaimanapun, berlainan pula bagi Jenny Ooi Shell Wei, 38, apabila beliau bersama anaknya Siew Yar Wern, 3, yang menghidap penyakit sama dibenarkan pulang tidak lama lagi untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

“Saya gembira apabila doktor memberitahu anak mempunyai peluang kira-kira 85 peratus untuk sembuh.

“Malah selepas menjalani rawatan sejak hujung tahun lalu pun, doktor menjangkakan anak saya boleh pulang ke rumah pada hari ahad ini,” katanya ketika menerima kunjungan isteri kepada Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd. (PNHB), Tan Sri Rozali Ismail iaitu Puan Sri, Faridah Idris.

Turut hadir ketika lawatan itu adalah Pakar Perunding Paediatrik HKL, Dr. Nurzila Zainudin serta Pengarah HKL Datin Dr. Nor Akma Yusuf.

Faridah berkata, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) PHNB melalui Peka untuk menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak terutama yang berbangsa Cina sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Lawatan itu memberi peluang kepada ahli dan pengurusan tertinggi PNHB untuk beramah mesra dengan anak-anak yang menghidap kanser.

“Lawatan itu juga diharapkan dapat menceriakan anak-anak dan ibu bapa sempena sambutan Tahun Baru Cina terutama anak-anak yang berbangsa Cina.

“Peka dan PNHB memberikan sumbangan tunai dan hamper kepada kanak-kanak yang berada di wad itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE