Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, peralatan pembersihan terbaharu yang menggunakan kuasa elektrik itu mampu bertahan selama lapan jam dan member­sihkan kawasan sehingga 2.5 kilometer.

Beliau berkata, peralatan pembersihan berkenaan digunakan di venue tumpuan tinggi pengunjung sepanjang KL2017 berlangsung seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil, Titiwangsa dan Pudu Ulu.

“Peralatan itu adalah mesin mikro sapuan dan vakum elektrik sebanyak tiga unit, skuter elektrik (10 unit) dan basikal tiga roda elektrik (12 unit).

“Kesemua peralatan ini mempunyai ciri-ciri menjaga kualiti persekitaran, di samping menjimatkan tenaga dan sumber asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke majlis Pelancaran Peralatan Pembersihan Berkonsepkan Hijau yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff.

Sementara itu, kira-kira 160 peserta pelbagai lapisan umur dan bangsa menyertai perlumbaan Alam Flora City Hunt sejauh lima kilometer sekitar bandar raya, bermula dari Dataran DBKL, Jalan Raja Laut.

Para peserta perlu memakai pakaian yang diperbuat daripada barangan kitar semula sebagai simbolik untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula.