Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mendakwa, sejak 2013, kesemua lot tanah yang berkeluasan 171 hektar itu telah dijual dengan harga jualan sebanyak RM4.28 bilion.

“Secara amnya, tanah-tanah ini dijual bagi tujuan penyediaan Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di samping menyeimbangkan keperluan persekitaran dengan pembangunan bercampur seperti kedai pejabat, pangsapuri harga bebas dan sebagainya.

“Semua tanah itu dijual tanpa tender terbuka serta harga yang diletakkan di bawah harga pasaran semasa iaitu lebih kurang RM74 bagi satu persegi tanah. Kesemua transaksi itu dijual dengan kelulusan Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung kes tersebut di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Mengulas lanjut, Lip Eng berkata, kesemua pemohon pembelian tanah daripada syarikat terlibat telah dikemukakan secara terus kepada DBKL pada bulan Januari 2016 dan tiada bukti Jawatankuasa Penilaian telah ditubuhkan serta kertas kerja proses penilaian disediakan.

“Saya minta SPRM menyerbu Yayasan Wilayah Persekutuan serta pejabat-pejabat syarikat pemaju bagi mendapatkan dokumen yang lengkap.

“Walaubagaimanapun, bangunan-bangunan yang telah dibina di atas lot tanah yang terlibat boleh diteruskan, cuma menghentikan dengan segera projek-projek penbinaan yang belum dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE