Kehadiran Joong-ki, 31, ke sini bagaimanapun bukanlah kerana drama popular yang menemukan beliau dengan kekasih layar kaca yang kini menjadi tunangannya, Song Hye-Kyo, 35, sebaliknya untuk mempromosikan filem terbarunya, The Battleship Island.

The Battleship Island adalah filem bajet besar menggambarkan kisah benar mengenai buruh paksa Korea yang dikerah bekerja di sebuah lombong arang batu milik tentera Jepun di pulau Hashima ketika Perang Dunia Kedua.

Filem bercorak aksi dan sejarah arahan pengarah tersohor Korea Selatan, Ryoo Seung-wan, memang ditunggu-tunggu tayangannya oleh peminat filem dan drama dari negara itu, bahkan sehingga kini dilaporkan telah ditempah oleh 113 negara untuk ditayangkan.

Tumpuan luar biasa terhadap filem ini bukan sahaja disebabkan faktor populariti Joong-ki bahkan pelakon lain yang turut membintanginya iaitu Hwang Jung-min dan So Ji-sub. Kedua-duanya turut sama berada di negara ini sebagai sebahagian rangka promosi filem berkenaan di Asia Tenggara.

Filem The Battleship Island ini dijadualkan tayangannya di negara ini bermula 17 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE