Filem pendek berdurasi 44 saat itu memaparkan kesibukan di tempat kerja, sehingga memaksa sebahagian pekerja beragama Islam lupa untuk berbuka puasa bersama keluarga.

Namun, pertimbangan dan kesanggupan yang ditonjolkan pekerja bukan Islam yang sanggup bertukar syif bagi membolehkan rakan Muslim mereka menikmati iftar yang lebih bermakna.

Setakat ini, filem pendek tersebut telah berjaya mendapat tontonan lebih 1.5 juta kali di saluran Youtube Snickers Malaysia dan laman rasmi Facebooknya.

Antara personaliti yang turut menyertai kempen ini termasuklah pelakon terkenal, Sharifah Sakinah; personaliti radio MY dan ERA, Phei Yong (DJ Phei) dan Dina Nadzir, serta personaliti berpengaruh media sosial, Lucas Lau dan Faar Ain yang bertindak mengambil alih syif rakan atau pekerja mereka buat sementara waktu bagi membolehkan mereka berbuka puasa sebelum menyambung kembali syif masing-masing.

Bukan itu sahaja, video itu juga turut memberi inspirasi kepada orang ramai untuk bertukar syif dengan rakan-rakan sekerja beragama Islam bagi memberikan ruang buat mereka menjamah makanan ketika masuk waktu berbuka.

Menurut Pengarah Unit Perniagaan Kategori, Mars Developing Asia, Yee Pek Kuan, penglibatan personaliti terkenal tempatan memainkan peranan yang penting dalam kempen ini dan telah berjaya memberi motivasi kepada rakyat Malaysia untuk turut serta ‘bertukar syif’, terutamanya bagi mereka yang bekerja syif panjang semasa bulan puasa dan tidak dapat pulang berbuka puasa di rumah.

“Kami berharap akan dapat terus memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia bukan sahaja untuk menghargai dan memahami budaya dan amalan agama lain, tetapi juga melakukan sesuatu yang baik untuk mereka yang bekerja syif.

“Ia mungkin semudah menawarkan Snickers untuk membantu mereka berbuka puasa dengan snek yang mengenyangkan sebelum dapat menikmati hidangan penuh, bekerjasama untuk menyiapkan tugasan secepat mungkin, atau mungkin juga bertukar syif dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kempen ‘Snickes Memahami’ telah dilancarkan pada tahun 2017 dengan matlamat untuk mempromosikan empati dan toleransi semasa bulan Ramadan.

Bagi tahun 2018, kempen itu menampilkan kisah pendek yang mengisahkan beberapa rakyat Malaysia yang menawarkan untuk bertukar syif dengan rakan-rakan sekerja yang beragama Islam untuk membolehkan mereka menikmati iftar. - UTUSAN ONLINE