Lagu-lagu hits kumpulan Spider bukan sekadar menjadi siulan peminat tetapi menyanyikan lagu Relaku Pujuk secara keseluruhan dengan diiringi muzik anggota Spider.

Rancak dan menghiburkan. Lebih dua jam Tam menghiburkan para peminatnya dalam dua segmen mengikut pecahan sembilan lagu pada segmen pertama dan 10 lagu sebagai melengkapi segmen terakhir.

Bijak membezakan momentum pada segmen kedua Spider tampil dengan konsep akuistik fusion tradisional.

Tidak cukup dan tidak puas kerana lagu-lagu Spider terpahat dalam hati dan ingatan peminat, Spider tidak dibenarkan meninggalkan pentas.

Lagu Semerah Padi dilantunkan oleh Tam yang sekaligus mengkhabarkan album Ankabut dibawah edaran Luncai Emas Sdn. Bhd.

Selepas dua tahun album berjudul Ankabut dilahirkan dalam pasaran, malam ini kumpulan Sipder mengadakan persembahan showcase sempena kelahiran album tersebut.

Showcase yang diadakan di Dewan TAR Matic, Jalan Ampang dekat sini menghimpunkan peminat Tam Spider yang agak lama menantikan kumpulan ini mengadakan persembahan berbayar di Lembah Klang.

Menyedari Spider agak lama tidak muncul di khalayak, Tam mengakui persembahan pada malam ini agak menggementarkan baginya.

Memulakan persembahan 25 minit lewat dari waktu asal, segmen pertama tidaklah mengecewakan kerana Tam Spider masih berbisa baik dari segi vokal mahupun persembahan pentas.

Sedikit kekurangan Tam ialah komunikasi beliau bersama audiens yang tidak mencacatkan perjalanan showcase ini kerana kesemua peminat yang mengisi setiap kerusi di dalam dewan, terhibur dan sama-sama menyanyi lagu-lagu hits Spider. - UTUSAN ONLINE