Lebuhraya capaian terkawal di negara ini yang dibangunkan pada 1974 itu menjadi kemudahan terpenting serta berfungsi menghubungkan bandar raya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Klang.

Setiap hari, ratusan ribu kenderaan menggunakan laluan ini dan sudah pasti pihak berwajib yang mengurus selia projek berkenaan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) memainkan peranan tersendiri untuk memastikan keadaan jalan sentiasa berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Utusan Malaysia di lebuh raya berkenaan bermula dari Seputeh, di sini sehingga Subang Jaya baru-baru ini mendapati, keadaan jalan rosak dapat dilihat di sepanjang laluan tersebut.

Antara kerosakan yang dikenal pasti dari kedua-dua arah adalah keadaan jalan yang semakin menggerutu, tidak rata, tampalan asal kembali rosak dan berlubang sehingga mengundang sengsara kepada pengguna jalan raya.

Senario ini jika tidak dibaik pulih dengan segera oleh JKR, pasti kerosakannya akan bertambah teruk ditambah pula dengan faktor cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.

Rata-rata pengguna jalan raya menyarankan supaya JKR dan mana-mana pihak berkaitan perlu memantau dan meniliti keadaan jalan tersebut memandangkan ia merupakan laluan utama bagi penduduk kota. - UTUSAN ONLINE

Video oleh NIK HAFIZUL BAHARUDDIN