Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Pengajian Antarabangsa Beijing, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, bagi memelihara kuasa, British ketika itu tidak mahu wujud integrasi antara orang Melayu dengan kaum lain.

“Kewujudan sekolah vernakular ketika itu dikatakan untuk memelihara identiti orang Cina atau India, tetapi matlamat sebenarnya adalah lain.

“Antara hasrat dasar pentadbiran British ketika itu mahukan lepasan sekolah vernakular menjadi orang suruhan seperti mata-mata dan pekerja mereka,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Wacana Konflik Antara Keperluan dan Kemahuan: Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Vernakular Dalam Negara Bangsa di Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Wacana anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM itu turut disertai Pensyarah Institut Kajian Etnik (Kita) UKM, Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron sebagai ahli panel, manakala Pengarah ATMA, Profesor Dr. Supyan Hussain sebagai pemudah cara.

Sementara itu Kok Seong berkata, sekolah vernakular sekarang bukan aliran nasional tetapi hanya mempunyai ciri nasional sahaja.

Tambah beliau lagi, dalam sudut nasional juga sekolah vernakular tidak setanding dengan sekolah kebangsaan dan tidak boleh dijadikan asas untuk membentuk negara bangsa.

“Saya ambil contoh impak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dapat dilihat hari ini dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia, mereka bersifat etnosentrik.

“Mereka tidak mampu berbahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris dengan baik melainkan bahasa Mandarin sahaja.

“Selain itu, mereka juga hidup dalam dunia sendiri dan bergaul dalam kalangan mereka sahaja termasuklah membaca akhbar dan menonton rancangan televisyen berbahasa Mandarin,” tegasnya.

Sehubungan itu, Kok Seong mencadangkan supaya struktur semua sekolah termasuk sekolah agama disatukan dalam satu aliran, sementara bahasa ibunda setiap etnik dijadikan komponen dalam pendidikan untuk memelihara warisan setiap kaum. - UTUSAN ONLINE