Hasrat itu yang mendorong pengarah dan pelakon, Erma Fatima menyampaikan ucapan penuh keikhlasan dari hati kepada adiknya yang juga merupakan pelakon, Betty Rahmad, 36, sewaktu majlis perkahwinannya bersama Ardy Damis, 31 , baru-baru ini.

Ucapan itu bukan sahaja memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang menonton dan mendengarnya, malah turut meruntun hati netizen sekali gus menerima sambutan luar biasa.

Menurut Erma, beliau tidak menyangka dan tidak pernah terlintas di fikiran bahawa ucapannya akan menerima perhatian dan sambutan baik daripada netizen.

“Sewaktu memberi ucapan itu, saya tidak pernah terfikir mengenai netizen, apa yang saya tahu, ia lahir dari hati yang ditujukan kepada Betty.

“Apa yang saya sampaikan adalah berdasarkan pengalaman saya dan mahukan Betty mencontohi perkara yang baik sahaja supaya perkahwinannya bahagia dan berkekalan,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Terdahulu, pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada Oktober 2017 dan selamat bernikah pada 4 Februari lalu.

Betty menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan senaskhah al-Quran yang telah dikhatamkan oleh suaminya sebagai hantaran. – UTUSAN ONLINE