Kekurangan itu juga bukanlah dijadikan alasan untuk mereka merayu simpati kepada orang ramai bahkan bersyukur kerana masih dikurniakan kecukupan anggota badan lain untuk meneruskan kehidupan sama seperti insan lain.

Berbekal semangat dan nikmat kurniaan Ilahi, Mohd. Zamrie dan Norhuda yang juga merupakan rakan sekerja di Pusat Fefleksologi dan Kraftangan MAB Shoppe, Mid Valley meneruskan kerja harian dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Mohd. Zamrie berkata, kerjaya sebagai tukang urut merupakan jalan terbaik untuknya memandangkan tiada lagi khidmat pekerjaan lain yang diperlukan syarikat luar disebabkan keterbatasan mereka.

“Tak apalah, asalkan tukang urut sudah cukup kepada saya berbanding sekadar berehat di rumah atau mengemis di jalanan.

“Saya sentiasa berfikir positif bahawa rezeki itu tetap ada di mana-mana selagi kita berusaha dan tekad meneruskan kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zamrie dan Norhuda merupakan kakitangan MAB Shoppe yang bernaung di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Selain mereka berdua, turut bersama memberikan perkhidmatan urut serendah RM42.40 itu ialah empat lagi kakitangan lain termasuk dua sebagai juruwang.

MAB Shoppe yang dulu beroperasi di tingkat dua Mid Valley kini dipindahkan di aras bawah bangunan iaitu di P2 bahagian North Court (bawah AEON) bermula 10 pagi hingga 9 malam pada setiap hari.

Selama 17 tahun memberikan perkhidmatan urut di kompleks beli belah itu, akhirnya MAB memutuskan untuk memindahkan pusat perniagaan berkenaan bagi memberi lebih keselesaan dan kepuasan kepada pelanggan.

Video oleh NIK HAFIZUL BAHARUDDIN

Sementara itu, Norhuda memberitahu, dengan pendapatan purata yang diperoleh sebanyak RM900 sebuah, ia cukup bagi menampung kehidupan keluarganya.

“Alhamdulillah, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada MAB kerana memberi peluang dan sokongan kepada golongan seperti kami.

“Kami diberi latihan yang cukup baik sebelum memulakan kerjaya ini secara profesional,” katanya yang mula memulakan langkah karier di pusat refeksologi itu pada 2008. - UTUSAN ONLINE