KUALA LUMPUR 14 Nov. - Kira-kira 10,000 pengundi berusia 40 tahun ke atas di Wilayah Persekutuan mendapat cermin mata percuma dalam program anjuran Pergerakan Puteri UMNO sejak Sabtu lalu.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Sharifah Aminah Syed Mohssain berkata, program selama tiga hari itu mendapat sambutan menggalakkan dengan peruntukan 1,000 pasang cermin mata rabun dekat bagi setiap kawasan Parlimen terpilih.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kerana memilih Wilayah Persekutuan sebagai lokasi pertama penganjuran program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika mengedarkan 1,000 cermin mata percuma kepada pengundi di Perumahan Awam (PA) Seri Kota, Bandar Tun Razak semalam. - UTUSAN ONLINE