Bagaimanapun, bagi pelanggan beragama Islam, kadangkala timbul isu status halal makanan yang disajikan di restoran atau hotel yang menawarkan hidangan seumpama itu.

Sungguhpun begitu, persoalan mengenai status halal itu bukan lagi menjadi halangan bagi penggemar masakan tersebut kerana Restoran Haji Ridhuan Lau Abdullah di Senawang di sini menyediakan hidangan juadah Cina yang dijamin halal istimewa untuk masyarakat Islam.

Pemilik restoran, Ridhuan Lau Abdullah berkata, sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan biarpun baru sahaja dua minggu restorannya dibuka. Katanya, sebelum ini dia membuka perniagaan kecil-kecilan dengan menjual wantan dan nasi ayam di sebuah lokasi di Seremban, Negeri Sembilan.

Ujarnya, beberapa rakan dan pelanggan kemudian menyarankan dia membuka premis makanan menjual makanan Cina yang dijamin halal.

“Di kawasan bandar Seremban dan Senawang sememangnya banyak restoran yang menyediakan masakan Cina, namun tidak semua ramuan yang ada dalam masakan Cina halal untuk orang Islam.

“Di restoran ini, mereka boleh datang tanpa ragu-ragu kerana makanan disediakan oleh tukang masak berbangsa Melayu dan beragama Islam selain dibantu oleh pekerja melayu,” katanya ketika ditemui di restorannya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, restoran tersebut menawarkan lebih 100 menu masakan khususnya resipi kaum Tionghua. Ini termasuklah pelbagai jenis sup antaranya, sirip ikan yu, ketam, udang, ikan, sotong, lala, ayam, sayuran tauhu, nasi dan mi.

Ridhuan memberitahu, antara hidangan utama yang menjadi pilihan ramai adalah masakan asam pedas Tionghua, udang telur masin, ketam telur masin, ikan siakap goreng asam pedas, lala lak chi, loi han coi dan yam basket.

“Selain itu terdapat juga nasi berlauk iaitu masakan panas pelbagai lauk masakan Tionghua,” katanya.


Video oleh MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH

Tambahnya, harga menu di restorannya bermula dari RM6 hingga ke RM100 dibuka setiap Isnin hingga Ahad dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.

Restoran yang mempunyai tenaga kerja seramai 12 orang boleh memuatkan 150 pelanggan dalam satu-satu masa dan untuk maklumat lanjut dan tempahan boleh hubungi talian 012-3553047 atau 014-3590326. - UTUSAN ONLINE