Tidak cukup sekadar siri animasi, pengikut tegar dan setianya turut kemaruk memiliki produk keluaran syarikat gergasi permainan dan ‘anime’, Bandai Namco Holdings (Bandai) iaitu konsol permainan pelihara raksasa, Digivice.

Pengasas Kelab Facebook Digi-Destined Malaysia, Muhammad Hafidz Selamat, 25, berkata, atas dasar hobi dan sentiasa mengikuti perkembangan Digimon telah mengilhamkannya mencari pengikut yang masih setia bermain alat konsol Digivice dalam negara.

Katanya, konsol yang berperanan sebagai perumah Digimon itu memberi pengalaman unik buat pemilik atau ‘Digimon Tamers’ (penjinak raksasa Digimon) yang penjagaannya bermula telur belum menetas hingga ke evolusi berperingkat seterusnya bergantung pada cara penjagaan.

“Uniknya seolah-olah memelihara seekor haiwan peliharaan hidup seperti kucing kerana penjagaan dari sudut pemakanan serta tahap kesihatan termasuk meter emosi dan stamina raksasa perlu sentiasa dititikberatkan ‘tamers’ sebagai persediaan bertarung.

“Komuniti Digivice terbahagi kepada dua iaitu ‘tamers’ dan ‘collectors’ terpulang sama ada hanya fokus pelihara Digimon bagi merebut gelaran juara atau mengumpul konsol pelbagai model yang punyai nilai vintaj,” jelasnya dalam Pertarungan Mingguan Digi-Destined Malaysia, di sini baru-baru ini.

Menurut Muhammad Hafidz, perjumpaan mingguan ‘battle round’ yang dilakukan telah mengumpul ramai pengikutnya serata negara yang sebelum ini sukar untuk berinteraksi dengan pemain lain.

Jelasnya, ia punya nilai sentimental kuat dengan pemain kerana selain berdamping hampir setiap masa bersama, nilai eksklusif permainan itu yang tidak semudah memuat turun ke telefon pintar buat mereka teruja untuk milikinya.

“Disebabkan konsol yang terhad, kami dalam kalangan kelab ini amat rapat serta bukan hanya berkongsi mengenai dunia Digimon sahaja malah semakin akrab dan selesa berkongsi hal lain jauh dari tekanan kerja di pejabat.

“Fenomena pertarungan raksasa yang memerlukan dua kepingan logam pada konsol antara dua pemain bersentuh itu kini hanya sekadar hobi yang perlu mengeluarkan kos agak tinggi kerana amat terhad serta tiada lagi dalam pasaran,” katanya.

Digimon yang suatu masa pernah jadi kegilaan diakui membawa memori dan pengaruh besar kepada ramai kanak-kanak waktu itu dengan nilai penceritaan yang ditonjolkan iaitu setia kawan serta sifat sayang antara manusia terhadap haiwan peliharaan.

Menonjolkan watak sekumpulan lapan ‘kanak-kanak terpilih’ mengembara ke dunia asing ditemani raksasa Digimon comel yang diamanahkan kini dapat diikuti menerusi siri yang masih diteruskan Bandai, ‘Digimon Adventure tri’. - UTUSAN ONLINE